Nov 30, 2011

~Mentari Menyinari~


سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Fasa pertama cuti akhir semester tahun ini dihabiskan di Melbourne. Merasa tarbiah musim panas.

***************

Cemburu dengan mistik alam.

Belajar dari mentari yang sangat patuh dengan aturan Allah bilamana zikirnya sering saja terlebih dahulu jumpa Tuhan dari sujud sendiri. Seawal jarum jam belum berdetik ke pukul empat pagi, cahayanya sudah mula gigih menampakkan jalur, menyebarkan sarat tenaga buat hidangan angkatan manusia sejagat dan makhluk bumi sekaliannya.

Belajar dari rintik hujan yang sering jalin toleransi mencipta harmoni bergilir tugas dengan sang suria demi membasah bumi yang kering kepanasan. Agar tanah tidak tandus. Moga hati ini juga turut begitu. Ada yang bantu basahkanya agar tidak retak kekeringan walau tika dalam terik perjalanan hidup.


"Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia,
Mahasuci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka."
(Ali 'Imran: 191)



Di ambang senja,
8.13 pm,
30112011.

Nov 13, 2011

~Terhibur Dengan Alam~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Berjalan-jalan sendiri sepulangnya dari Victoria Market menemani teman membeli cenderahati untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Sudah lama tidak bersendirian bersama alam. Kepuasan tercapai.

Masih. Bunga-bunga pagi segar menguntumkan kelopaknya warna-warni serta menebarkan harumannya pesona. Cukup buat diri penasaran.

'Maka nikmat Tuhanmu yang manakah engkau dustakan?'



Kemudian, berbekalkan sebuah buku di dalam beg sandang, bertapak ke Royal Park. Di bawah pokok berhadapan tasik ditemani suara cicipan burung, memulakan pembacaan. Riang!


Mengharapkan hari esok yang lebih baik.


Pada pelangi banyak warna
Begitu juga pada sinar pagi

Kepelbagaian terus dirai.


Bunga-bunga sudah banyak yang segan,
Kehangatan musim panas makin dirasa.

Nov 12, 2011

~Di Kala Ombak Berbicara~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Alhamdulillah. Berakhir sudah Tahun Dua.

Sebaik keluar dari dewan Melbourne Sport and Aquatic Centre (MSAC) yang menjadi tempat peperiksaan, diajak untuk meraikannya di tempat kegemaran; Brighton Beach. Post-exam picnic!

Menanti mentari tenggelam, makan-makan dan mendengar kisah mereka.





***************

Cerita arah tuju
Mengalir di sela derai tawa
Tika menyusur matahari

Ada yang tertinggal
Setelah terbenam mentari
Yang suram moga kembali terang

Selamanya kita
Jangan berhenti kejar cahaya
Harap pada sinar itu
Suluh gelap jalanan
Dalam carian ini ...

Nov 8, 2011

~Kisah Budak Kaca Mata~


سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Ditanya tentang perubahan
Ditagih sebuah nasihat

Maaf
Bukan aku tidak mahu menasihati
Tapi selayaknya aku dinasihati

Atau, mungkin ini masa yang sesuai
Untuk sebuah perubahan
Perubahan yang mesti

Ikhtilat

Bukan kamu, tapi aku
Kerana kita tidak cukup kenal
Tidak adil untuk aku menghakimi kamu

Cukup aku jadi watak dalam bicara ini

Kalau dulu tunduk-tunduk
Kalau dulu malu-malu
Kalau dulu lapik-lapik
Kalau dulu jaga-jaga
Kalau dulu elak-elak

Kalau dulu ...

Dan kalau sekarang aku masih seperti dulu.



Terima kasih untuk pertanyaan itu.
Tapi maaf, aku tidak mampu.
Dan aku juga butuhkan nasihat.



Rindu aku yang dulu;
budak kaca mata,
kain biru, lengan cekak, tudung labuh.

Nov 5, 2011

~Salam Aidil Adha~


سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Esok raya!

Dan hari ini sedang bertungkus-lumus 'menyembelih' nota-nota Heat and Mass Transfer dan 'melapah' soalan-soalan Reaction Engineering untuk di'panggang' lusa. Berbaki lagi dua. Berusaha!

**********

Tersenyumlah bahagiakanku dengan kisah-kisah mereka.

Kisah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim a.s. dan Nabi Allah Ismail a.s.. Agungnya pengorbanan pasangan ayah dan anak ini sehingga Allah abadikan kisah mereka dalam amalan sembelih korban yang masih lekat hingga kini.

Pasti ramai juga tidak lupa akan pengorbanan Siti Hajar. Bagaimana Allah telah muatkan kisah ketabahan Siti Hajar ini dalam ritual ibadah haji dan umrah. Lari-lari kecil dari Bukit Safa ke Bukit Marwah tujuh kali lengkap.

Namun, jangan sesekali kita lupa akan pengorbanan Siti Sarah. Siti Sarah yang sanggup menduakan dirinya tika diuji Allah tidak dapat memberi zuriat pada Nabi Allah Ibrahim a.s. Merelakan diri bermadu kasih demi kelangsungan zuriat suami tercinta. Tanpa pinta Siti Sarah ini, mungkin tidak terukir kisah Siti Hajar. Aturan Allah itu setiap sesuatu pasti ada hikmahnya.

Sesungguhnya seisi keluarga telah berkorban. Semata-mata tunduk taat pada-Nya.

Pohonku, doakanlah moga kisah aku dalam melangkah menyusuri waktu menjemput harap setabah mereka.


Selamat menghayati pengorbanan!



Sesetengah
orang akan kembali,

hati dan jiwa-jiwa yang dilahirkan semula
Sesetengah orang akan kembali,
kesedihan mereka digantikan dengan kegembiraan
Sesetengah orang akan kembali,
kembali ke Rahmatullah.

Labbaikallahumma labbaik
.


Bergua,
ba'da Zuhur,
8 Zulhijjah.

Nov 3, 2011

~Tidak Mahu Tewas Lagi~



سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Tewas. Sering.

***********

GOL!!!!

Bersorak, berteriak kegembiraan penyokong kelab itu apabila pasukannya berjaya menjaringkan gol buat ke sekian kalinya.

Dan tidak mustahil, esok pasukan ini akan menggondol pingat lagi. Dan seterusnya, lagi.

Pasukan lawan yang tewas, mungkin akan tewas lagi. Dan akan terus tewas, lagi.

Mahu salahkan pasukan juarakah yang hebat 'skill'nya melecek bola di atas padang empat segi itu?

Atau salahkan penjaga gol seorang yang membiarkan saja bola tembus masuk dalam kotak jaring itu?

Atau salahkan pemain yang menjaringkan gol 'kebajikan' untuk pihak lawan?

Atau salahkan jurulatih yang kurang hebatnya?

Atau salahkan penyokong yang perlahan jeritannya?

Yang harus disalahkan, siapakah?

Bisa saja untuk salahkan siapa sahaja, bahkan apa sahaja. Mungkin bola yang kurang bulat, mungkin padang yang kurang hijau, atau tiang gol yang senget, atau juga wisel yang tidak berbunyi, boleh juga pencahayaan yang malap. Pilih saja. Pelbagai.

Namun, jujurlah pada diri.
untuk apa alasan yang seribu itu?
supaya diri tidak rasa bersalah?
walhal hakikatnya, dihantui, diburu sentiasa
dengan perasaan yang satu itu.

Bukan?

**************

Ulasan perlawanan pasukan al-haq
berentap dengan pasukan al-bathil di padang hati.
Kemenangan atau ketewasan.

Juaranya, anda tentukan.


yang tewas,
penerima kad merah terbanyak,

Fajar,
7 Zulhijjah 1432.

Nov 2, 2011

~Berhati-hati dengan Hati~

credit pic: k.shida

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

ada hati perlu dijaga agar tidak terluka,
ada hati perlu terluka agar terjaga.

maaf, andai hati terluka.
maaf, andai hati tidak terjaga.

mohon hati senantiasa berhati-hati.


Biar terluka,
asal terjaga.
Mampukah?

Oct 29, 2011

~Aku dan Rama-rama~


سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم


Aku pernah bersama sang rama-rama
memasang kepak di kiri kanan
berekspedisi meyusuri alam mega
terbentang antara gumpalan bebenang putih

Melakar ranum impi bersama sang rama-rama
menyelinap lembah
merentasi jurang
tiap pelosok aku terjah
tika sunyi laila hingga sepi subuh
bersama ditemani senyum mereka
sambil cuping menangkap bisik Ilahi
mengetuk pintu hati yang kian beku

Di sisi sang rama-rama
aku dilayan bak sang ratu
tiada sunyi, tiada sepi

Sekali
sang rama-rama merayu
bawa mereka ke duniaku
terus aku kelu
seraya pulangkan kepak pinjaman

Maaf ku pinta duhai sang rama-rama
bukanku tidak mahu tapi malu menebal
duniaku penuh mitos misteri
kubimbang, kepakmu kan carik
koyak rabak, tinggal perca

Sang rama-rama
tiada sanggup kulihat
dirimu teroleng-oleng disini

Lantas kuputus
teruskan kamu setia di duniamu
biarku pulang ke duniaku

Walau aku dan kamu bahagia bersama.

Bukanku tak pantas
tapi rentak tariku dan sang rama-rama
tiada sama,besar beda

Rama-rama, selamat tinggal...


kisah aku dan sang rama-rama,
29082009.

Oct 28, 2011

~Warkah Apresiasi~


سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Adikku sayang,
Sesungguhnya Allah telah memlihmu untuk memahami hakikat kehidupan di dunia ini. Telah Allah aturkan perjalanan hidupmu agar dikau dapat sambung belajar di sini, sebelum Allah temukanmu dengan hidayah Allah. Tahun berganti tahun dikau ditarbiyyah..melalui pelbagai pengalaman pahit manis. Tiada yang tahu, pada waktu itu, bahawa Allah sedang menyediakanmu untuk urusan yang besar.

Sehingga tiba waktunya kini, Allah merungkaikan perancangannya serta mewatikahkan dirimu untuk suatu tugasan yang amat mulia lagi diredhai. Yakinlah bahawa dikau merupakan pilihan Allah, dilantik oleh Allah untuk meneruskan perjuangan di bumi Melbourne. Tiada yang mampu kakakmu ini berikan kepada adik melainkan doa yang mengiringi serta beberapa pesanan.

Adik, jagalah hubungan dengan Allah dengan menyempurnakan kewajipan terhadap-Nya. Perkara-perkara fardhu haruslah mantap di dalam diri. Solat lima waktu jangan sekali diabaikan. Taqarrubkan diri kepada-Nya selalu. Ingat, hilang Allah, hilanglah segalanya.

Adik, bangulah qiam di sepertiga malam. Sebolehnya, carilah Allah pada setiap malam kerana di sinilah sumber kekuatan sebenar. Sesungguhnya, bangun malam itu lebih kuat mengisi jiwa dan bacaan pada waktu itu lebih berkesan.

Adik, tadabburlah Al-Quran pada setiap hari. Sungguh, di dalamnya terdapat penawar bagi jiwa-jiwa yang sakit serta jawapan kepada permasalahan-permasalahan harian. Ikhlaskan jua hati serta perhatikan niat pada setiap masa, agar diri tidak hanyut dalam kefuturan.

Adik, jagalah ukhwah sesama teman-teman sebaiknya. Itulah kekuatan untuk dirimu terus bertahan menghadapi cabaran sehari-hari. Jangan sesekali tewas dengan syaitan yang pasti akan berusaha merungkaikan ikatan hati antara kalian. Ingatlah, dikau takkan mampu bergerak seorang. Maka tunaikanlah hak kepada teman-teman seperjuangan, kelak kalian akan terus kukuh bertahan.

Adik, hidupkanlah akhlak-akhlak mulia dalam diri walau dalam apa keadaaan sekali pun. Sesungguhnya akhlak yang dipamerkan yang akan menjadi juru bicara perjuanganmu. Juga, janganlah abaikan tabiat membaca. Bacalah, terutama buku-buku fikrah agar dikau akan lebih memahami tabiat jalan dakwah lantas lebih bersedia menghadapinya.

Adik, ketahuilah bahawa dikau tidak keseorangan. Malah, seluruh dunia dan seiisinya bersama menyokong perjuangan ini. Maka usahlah sedih, usahlah gentar. Kuatkan tekad serta berserahlah kepada Allah pemilik risalah yang kita perjuangkan ini. Juga janganlah segan silu bertanya pada kakak-kakak yang sudah terlebih dahulu melalui jalan ini. Ingat, kami sentiasa bersamamu, walau dari kejauhan.

Berjuanglah adikku, demi kelangsungan risalah yang kita cintai ini, demi kedudukan yan tinggi dan terpuji di akhirat kelak.

Allah bersamamu, adikku. Allah bersamamu. Sehati sejiwa, dulu kini selamanya. Walau apa yang melanda hadapi bersama. Ya Allah Ya Rabbi, teguhkan iman kami. Moga tabah hati tak berbelah bagi. Moga tabah hati tak berbelah bagi!

-Kakakmu-

Oct 26, 2011

~Wordless Wednesday~


Bakal bersilat di gelanggang peperiksaan! Doakan.

Oct 24, 2011

~Sekuntum Mawar Jingga~


سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Taburkan benih cinta,
pasti bersemi kuntuman kasih,
indah tersusun di taman mawaddah.
.
.
.
Kerna kita duta kasih-sayang,
buat umat sejagat.




Haruskah aku khabarkan
aku juga punya rasa yang sama.
atau,
Sewajarnya aku diamkan
biar berlalu ditelan masa.

Liqa' usrah,
Melbourne Madinah,
22 Okt 2011.

Oct 22, 2011

~Kenangan Juga Harapan~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Terasa ingin sekali menarikan kisah semalam di pentas tulisan ini. Kisah manis.

Kalau sahaja dilakarkan graf, ternyata akan menghasilkan persamaan linear yang berkadar langsung antara pembolehubah kadar homesick dengan pembolehubah waktu peperiksaan. Merumuskan satu hipotesis iaitu kadar homesick akan makin meningkat apabila waktu peperiksaan makin hampir.


Menggali sebening kenangan sedekad lalu dari lubang minda. Banyak compangnya. Namun abaikan. Kerna itu cerita dulu. Kini sudah lain. Tapi masih, compangnya ada.

Biarkan saja kisah pertama ini menari dahulu, tarian-tarian episod seterusnya mungkin saja akan menjejak atau mungkin saja ini tarian kisah pertama juga terakhir. Tidak aku tahu.


Kisah nakal si anak sedekad lalu. Segan untuk dipaparkan. Tapi biar. Untuk disampaikan pada anak cucu kelak. Mudah-mudahan.


KISAH ANAK KECIL

Anak kecil
comel
dan nakal
atau mungkin
tapi
tapi nakal
lebih molek.

anak kecil
baring di sofa
atau atas lembek alas lantai
mata ditutup rapat
pejam kemas
tiba-tiba di awanan
didukung terus ke bilik
begitu juga dari mobil
pura-pura tidur itu
jadi mainan
tiba di katil
bibir mengukir senyum
marah dia kepenatan
sekejap cuma
bahagia si kecil
bawa ke mimpi.
nakal.

anak kecil
bersama si adik
keluar tika senja
bermain girang
nun di belakang rumah
kedek-kedek dia mencari
terus diangkut pabila jumpa
tahan bas di depan
mahu dijual si kecil itu
di bawah jambatan
tempat dibeli dahulu
ugutnya
menangis sedu-sedan
si kecil tidak sedar
padahal yang memerhati
galak ketawa.
nakal.

anak kecil
disuruh solat
akur pada arahan
masuk bilik
kunci pintu
tiba giliran
si abang pula
sama
telah selesai
dipanggil kami
rupanya tadi dirakam
tiba masa ditayang
solat anak kecil pelik
ada adegan jelik
rahsiakan saja
solat si abang
tidak cukup hitungnya
mana pergi lagi dua rukuk
culas
pita itu wujudkah lagi?
mahu tatap kembali.
nakal.

anak kecil
seawal sembilan malam
sudah dikerah tidur
wayang-wayang menarik
baru saja mahu bermula
apakan daya
patuh
salam dua-dua
cium pipi kiri kanan
hidung dahi dagu
lengkap semua
selamat malam
i love you
i miss you
segala bagai
tutup pintu
tutup lampu
diam seketika
lambat-lambat
buat pakatan
turun senyap-senyap
sambung tonton cerita.
nakal.

anak kecil
bersama abang
bersama adik
baring-baring
kaki bersilang
tonton doraemon
juga yek yau kungfu botak
hadap lama-lama
tidak berganjak
keluar dia
dengan objek panjang halus
bertempiaran lari
bilik air cukup seorang satu
duduk diam-diam
mahu keluar
takut
objek panjang halus
menanti di depan pintu
tapi mahu tidak
tetap
tadah tangan
hulur belakang
merah itu rutin
kadang-kadang
buat giliran
sorok objek panjang halus itu.
nakal.

anak kecil
pantang ke pasar malam
merengek minta wang
'ceingget'
cukup untuk beli
tora datang lagi
tangan
mesti digenggam
erat-erat
bilang perlu selalu
cukup atau tidak
bimbang ada yang hilang
kerna itu biasa
baik di pasaraya
mahu dalam lif
turun naik
naik turun
kalut mencari.
nakal.

anak kecil
kini sudah besar
dewasa pasti
matang mungkin belum
doakan kami selalu
doa kamu kami dambakan.

hidup seperti dulu
mustahil.
hidupkan kenangan lalu
mesti.

Yang merindui,
anak kecilmu
22 Okt 2011

Oct 21, 2011

~Ketawa Bersama Hujan~


سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم
Alhamdulillah redup cuaca hari ini sangat didambakan. Perasaan terbuai asyik.

Nota bersepah-sepah diabaikan sementara. Raikan seketika titisan gerimis. Sambil menghirup secawan kopi suam. Nikmat.


Masa. Satu makhluk yang aneh. Makhluk yang unik. Makhluk yang ajaib. Panjang pendeknya bukan diukur dengan detik. Sekejap lamanya juga bukan dapat dihitung dengan jarum saat semata.

Keberkatan. Mungkin itu sewajarnya yang menjadi kayu ukur untuk masa. Namun untuk meraihnya bukanlah sesuatu yang mudah. Mujahadah yang tinggi sangat diperlukan.

Manusia itu seringnya sibuk mengejar masa. Sedang belajar untuk nyahkan jauh-jauh kata itu dari minda. Berusaha untuk bergerak lebih pantas. Mendidik diri biar dikejar masa. Sentiasa berusaha berada di hadapan. Diasak-asak agar bergerak pantas. Jangan pernah berhenti. Terus berlari. Doakan, agar dalam perlumbaan dengan masa ini, aku bisa jadi juara.

Kerana memang selayaknya masa mengejar kita, bukan kita mengejar masa.

Sudah hampir dua tahun berlalu. Dan masih lagi berbaki dua tahun. Mudah-mudahan dipermudahkan-Nya dalam usaha mencapai segulung ijazah. Ijazah untuk ummah. Dengan izin-Nya.

toleh ke belakang,
senyum-senyum sendiri,
melihat kelibat memori semalam,
bertatih mencari matang.

dan masih mencari...


Yang escapism,
SWOT Vac
(Study WithOut Teaching Vacation),
2nd year 2nd sem.

Sep 8, 2011

~Seminggu Penuh Makna~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.



'Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?'


Allahu Ghafar.

Terlalu banyak!
Terlalu banyak yang Engkau kurniakan
Terlalu banyak juga yang aku lupakan.



~Moga ikatan ini ikatan Ilahi.
Bukan ikatan manusiawi semata.
Kekal hingga ke syurga abadi.~

Jul 23, 2011

~Cemas di Langit~

Lama tertangguh.

Dari dibiar sepi menanti hilang dari memori, baiklah kiranya dilakar menjadi diari di kemudian hari.

Amatlah benar, kematian itu sebaik-baik peringatan.

Flight Tiger Airways yang diberitakan dibatalkan pada saat-saat akhir diterima sebagai tarbiah dalam berkelana. Kabut mencari ganti tiket baru. Alhamdulillah, pilihan yang paling murah dengan transit di Sydney dengan harga empat kali lipat dari harga asal yang menjadikan jumlah harga tiket Melbourne-Perth bersamaan dengan harga penerbangan dua hala Melbourne-Malaysia. Namun masih, harga sebuah kembara tiada hitung nilainya.
Bertemankan memori sepanjang bergelar musafir di Swan City, melangkah seorang ke dalam Flight DJ 564 terbang ke Sydney. Di awal penerbangan, minda tangkas menghadam hasil dapatan di bumi tenang. Tenang dek jauh dari ripuh manusia, tenang dek sungai luas mengalir di tengah-tengah bandarnya, tenang dek ukhwah manis tercipta. Tenang nian.

Seketika, gegaran dirasa. Yup, memang bukan sesuatu yang luar biasa untuk berlaku gegaran di langit. Tetapi gegaran kali ini Allah hadirkan ketakutan diiringi keinsafan. Walau pada mulanya berlagak cool namun tidak bertahan. Melihat penumpang di sebelah berwajah cemas, pramugari berjalan pantas, anak kecil dipujuk diam, pipi tiba-tiba basah.

Kalah dengan ketakutan. Teringat keluarga di tanah air. Amalan baik langsung tidak pernah cukup. Taubat masih jauh untuk sempurna. Hanya Allah yang tahu perasaan itu.

Saat itu, diilhamkan Allah untuk melaksanakan solat.
"Sahaja aku solat kerana Allah Taala."
Tanpa dikhususkan solat apa dan berapa rakaat, yang terfikir tika itu, inginkan husnul khatimah. Sangat-sangat inginkan. Dan hingga ke detik ini, masih dambakan itu.

Jika ditakdirkan ajal tika itu, dengan kelajuan dan ketinggian dari aras laut sebuah pesawat, tidak terbayang entah badan ke mana, kepala ke mana, tangan kanan terputus sini, tangan kiri terkepit sana, kaki bersepah merata-rata. Mohon Allah jauhkan diri ini dan mereka dari kengerian itu.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Diselamatkan Allah dalam perjalanan penuh keinsafan.

'Maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan?'


p.s : Selama hidup, sudah banyak mana diselamatkan perjalanan? Perlu diuji baru nak ingat ke? T_T



Yang sering perlu diingatkan,
23 Julai 2011
10.42 p.m
Macarthur Road.

Jul 13, 2011

~Coretan Memori~

KEMBARA PERTH
(1-12 Julai 2011)


Andai mampu kusulam
Madah, metofora mencipta puisi
Akan kutitipkan buat kalian
Jadi wadah melankoli benam pada atma

Dalam kesunyian berkelana
Singgah kalian mencetus berahi
Bawa kuterbang laju meninggi
Mengutip hikmah bercanda di Firdausi

Kelamku kau suluh dengan cahaya Ilahi
Fikirku kau sucikan dengan ilham rabbani
Kakuku kau lembutkan dengan pekerti nurani
Resahku kau tenangkan dengan bicara maknawi

Pertemuan penuh erti
Gamit juta emosi
Pilu gulana riang tawa
Bergejolak kencang dalam sukma

~mahu terus berkhayal indah bersama kalian~

Yang sedang melayan rindu,
tenggelam dalam belahan gumpalan putih,
Flight DJ800,
Sydney-Melbourne,
7.21 am.

Jun 24, 2011

~Lupa~

Subhanallahiwabihamdih
Subhanallahil'adzim



Kerna aku berkaca mata,
aku jadi lupa bahawa aku sebenarnya rabun.

Ringkas.


rindu.
letaknya pada hati,
atau pada ingatan?

Apr 27, 2011

~Brother Jack~

Subhanallahiwabihamdih
Subhanallahil'adzim



Khamis. Permulaan cuti yang sangat menggembirakan. MABIT (Malam Bina Iman dan Taqwa) bersama sisters menjadi pembuka aktiviti.

Jumaat. Sengaja melangkah keluar awal dari rumah kerana merencana untuk menunaikan solat Jumaat di Melbourne Convention and Exhibition Centre bersama Muslim pelbagai bangsa.

Usai solat, ronda-ronda sekitar kawasan mencari apa-apa yang boleh dijadikan santapan. Hasrat terbantut pabila melihat harga yang tertera. Tambahan bukannya lapar sangat,sebelum keluar sudah menjamah garlic bread Coles, saja mahu melayan nafsu.

Slot demi slot Annual Australian Islamic Conference selama tiga hari berturut-turut telah berlalu. Berpeluang bertemu masyaeikh hebat-hebat dari pelusuk dunia antaranya Sheikh Tawfique Chowdhury, Sheikh Hussein Yee, Sheikh Navaid Aziz, Abu Hamza dan ramai lagi dengan penyampaian yang pelbagai. Alhamdulillah.

Paling tidak disangka-sangka diberi peluang menyaksikan buat julung kalinya not-yet Muslim (instead of non-Muslim saran Sheikh Hussein Yee) melafazkan kalimah agung Syahadatain sekaligus melahirkan insan suci melenyapkan kejahilan lampau kisah silam beliau. Subhanallah. Basah kelopak mata mendengar kalimah mulia teratur keluar dari insan pilihan-Nya. Semoga Brother Jack dan kita dilimpahkan hidayah tidak putus-putus dari Maha Pemberi Hidayah.

Ahad. Tidak berkesempatan bersama dalam majlis penutup AAIC. Mengutip cerita dari mereka yang hadir. Berjaya mendapat lebih kurang $AU 80 000 dalam masa beberapa jam semasa slot bidding. Hebat! Semoga pemberian mereka di jalan Allah dalam redha-Nya.

Dalam slot ini ada cerita sweet sepasang suami isteri.

'Masya Allah Brother,you again?'

MC bertanya inginkan kepastian kerana beliau mengangkat tangan buat kali yang kedua.

'This time is for my wife. She wants to donate as well.'

Sweetkan? Mereka mahu masuk jannah bersama, insya Allah.

Isnin. Jaulah seharian ke Philip Island. Berpelukan dengan Kangaroo. :D

Selasa. Family Hour di Restoran Sofia. Sangat terharu dengan layanan yang diberikan. Mereka sangat prihatin dengan kita. Kalau tidak, melahap pasta dan pizza khinzir lah kami. Hehe.

Rabu. Sheikh Habib Umar World Tour 2011. Sempat menghadirkan diri di Coburg Islamic Centre pagi tadi. Walau sekejap cuma, sangat bermanfaat insya Allah.

Khamis. Kelas bakal bermula. Menantikan episod cerita seterusnya yang senantiasa dalam rahsia-Nya.



'Oh assigment! Oh test!'
Maafkan daku kerna mengabaikanmu!'

Ayuh,
kembali ke sekolah!
:)

Apr 10, 2011

~Kebebasan~


Subhanallahiwabihamdih
Subhanallhil'adzim

BEBAS.

Sangat suka begini.
Tiada keterikatan.
Tika bersama kebebasan.
Indah.

Bebas melangkah dari daksina ke paksina.
Mengintai aurora bangun dari lena.
Mendengar bisikan geseran dedaun.
Menyapa khabar bebuih ombak tika bertemu pepasir.
Melihat mentari ditelan ufuk horizon.
Berbicara sepi bersama sang purnama menawan.
Berceloteh bisu pada gugusan bintang jelita.

Sungguh.
Luar biasa hebat perasaan,
dipantakkan tika bersama alam.
Membawa diri jauh dari manusiawi.
Membawa diri mencari diri.
Membawa diri nenuju Ilahi.


~Kadang-kadang
sesuatu yang tidak dirancang
lebih indah dibiarkan terjadi.~


Mencari diri yang hilang,
High Street, Windsor

Apr 7, 2011

~Bicara Sepi~


Subhanallahi wabihamdih
Subhanallahil'adzim




Aksara
makin sukar dilakar

Coretan
sekadar cebisan

Kalam
berbicaralah!




pengemis dhuha,
Macarthur Road.