Oct 29, 2011

~Aku dan Rama-rama~


سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم


Aku pernah bersama sang rama-rama
memasang kepak di kiri kanan
berekspedisi meyusuri alam mega
terbentang antara gumpalan bebenang putih

Melakar ranum impi bersama sang rama-rama
menyelinap lembah
merentasi jurang
tiap pelosok aku terjah
tika sunyi laila hingga sepi subuh
bersama ditemani senyum mereka
sambil cuping menangkap bisik Ilahi
mengetuk pintu hati yang kian beku

Di sisi sang rama-rama
aku dilayan bak sang ratu
tiada sunyi, tiada sepi

Sekali
sang rama-rama merayu
bawa mereka ke duniaku
terus aku kelu
seraya pulangkan kepak pinjaman

Maaf ku pinta duhai sang rama-rama
bukanku tidak mahu tapi malu menebal
duniaku penuh mitos misteri
kubimbang, kepakmu kan carik
koyak rabak, tinggal perca

Sang rama-rama
tiada sanggup kulihat
dirimu teroleng-oleng disini

Lantas kuputus
teruskan kamu setia di duniamu
biarku pulang ke duniaku

Walau aku dan kamu bahagia bersama.

Bukanku tak pantas
tapi rentak tariku dan sang rama-rama
tiada sama,besar beda

Rama-rama, selamat tinggal...


kisah aku dan sang rama-rama,
29082009.

Oct 28, 2011

~Warkah Apresiasi~


سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Adikku sayang,
Sesungguhnya Allah telah memlihmu untuk memahami hakikat kehidupan di dunia ini. Telah Allah aturkan perjalanan hidupmu agar dikau dapat sambung belajar di sini, sebelum Allah temukanmu dengan hidayah Allah. Tahun berganti tahun dikau ditarbiyyah..melalui pelbagai pengalaman pahit manis. Tiada yang tahu, pada waktu itu, bahawa Allah sedang menyediakanmu untuk urusan yang besar.

Sehingga tiba waktunya kini, Allah merungkaikan perancangannya serta mewatikahkan dirimu untuk suatu tugasan yang amat mulia lagi diredhai. Yakinlah bahawa dikau merupakan pilihan Allah, dilantik oleh Allah untuk meneruskan perjuangan di bumi Melbourne. Tiada yang mampu kakakmu ini berikan kepada adik melainkan doa yang mengiringi serta beberapa pesanan.

Adik, jagalah hubungan dengan Allah dengan menyempurnakan kewajipan terhadap-Nya. Perkara-perkara fardhu haruslah mantap di dalam diri. Solat lima waktu jangan sekali diabaikan. Taqarrubkan diri kepada-Nya selalu. Ingat, hilang Allah, hilanglah segalanya.

Adik, bangulah qiam di sepertiga malam. Sebolehnya, carilah Allah pada setiap malam kerana di sinilah sumber kekuatan sebenar. Sesungguhnya, bangun malam itu lebih kuat mengisi jiwa dan bacaan pada waktu itu lebih berkesan.

Adik, tadabburlah Al-Quran pada setiap hari. Sungguh, di dalamnya terdapat penawar bagi jiwa-jiwa yang sakit serta jawapan kepada permasalahan-permasalahan harian. Ikhlaskan jua hati serta perhatikan niat pada setiap masa, agar diri tidak hanyut dalam kefuturan.

Adik, jagalah ukhwah sesama teman-teman sebaiknya. Itulah kekuatan untuk dirimu terus bertahan menghadapi cabaran sehari-hari. Jangan sesekali tewas dengan syaitan yang pasti akan berusaha merungkaikan ikatan hati antara kalian. Ingatlah, dikau takkan mampu bergerak seorang. Maka tunaikanlah hak kepada teman-teman seperjuangan, kelak kalian akan terus kukuh bertahan.

Adik, hidupkanlah akhlak-akhlak mulia dalam diri walau dalam apa keadaaan sekali pun. Sesungguhnya akhlak yang dipamerkan yang akan menjadi juru bicara perjuanganmu. Juga, janganlah abaikan tabiat membaca. Bacalah, terutama buku-buku fikrah agar dikau akan lebih memahami tabiat jalan dakwah lantas lebih bersedia menghadapinya.

Adik, ketahuilah bahawa dikau tidak keseorangan. Malah, seluruh dunia dan seiisinya bersama menyokong perjuangan ini. Maka usahlah sedih, usahlah gentar. Kuatkan tekad serta berserahlah kepada Allah pemilik risalah yang kita perjuangkan ini. Juga janganlah segan silu bertanya pada kakak-kakak yang sudah terlebih dahulu melalui jalan ini. Ingat, kami sentiasa bersamamu, walau dari kejauhan.

Berjuanglah adikku, demi kelangsungan risalah yang kita cintai ini, demi kedudukan yan tinggi dan terpuji di akhirat kelak.

Allah bersamamu, adikku. Allah bersamamu. Sehati sejiwa, dulu kini selamanya. Walau apa yang melanda hadapi bersama. Ya Allah Ya Rabbi, teguhkan iman kami. Moga tabah hati tak berbelah bagi. Moga tabah hati tak berbelah bagi!

-Kakakmu-

Oct 26, 2011

~Wordless Wednesday~


Bakal bersilat di gelanggang peperiksaan! Doakan.

Oct 24, 2011

~Sekuntum Mawar Jingga~


سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Taburkan benih cinta,
pasti bersemi kuntuman kasih,
indah tersusun di taman mawaddah.
.
.
.
Kerna kita duta kasih-sayang,
buat umat sejagat.




Haruskah aku khabarkan
aku juga punya rasa yang sama.
atau,
Sewajarnya aku diamkan
biar berlalu ditelan masa.

Liqa' usrah,
Melbourne Madinah,
22 Okt 2011.

Oct 22, 2011

~Kenangan Juga Harapan~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Terasa ingin sekali menarikan kisah semalam di pentas tulisan ini. Kisah manis.

Kalau sahaja dilakarkan graf, ternyata akan menghasilkan persamaan linear yang berkadar langsung antara pembolehubah kadar homesick dengan pembolehubah waktu peperiksaan. Merumuskan satu hipotesis iaitu kadar homesick akan makin meningkat apabila waktu peperiksaan makin hampir.


Menggali sebening kenangan sedekad lalu dari lubang minda. Banyak compangnya. Namun abaikan. Kerna itu cerita dulu. Kini sudah lain. Tapi masih, compangnya ada.

Biarkan saja kisah pertama ini menari dahulu, tarian-tarian episod seterusnya mungkin saja akan menjejak atau mungkin saja ini tarian kisah pertama juga terakhir. Tidak aku tahu.


Kisah nakal si anak sedekad lalu. Segan untuk dipaparkan. Tapi biar. Untuk disampaikan pada anak cucu kelak. Mudah-mudahan.


KISAH ANAK KECIL

Anak kecil
comel
dan nakal
atau mungkin
tapi
tapi nakal
lebih molek.

anak kecil
baring di sofa
atau atas lembek alas lantai
mata ditutup rapat
pejam kemas
tiba-tiba di awanan
didukung terus ke bilik
begitu juga dari mobil
pura-pura tidur itu
jadi mainan
tiba di katil
bibir mengukir senyum
marah dia kepenatan
sekejap cuma
bahagia si kecil
bawa ke mimpi.
nakal.

anak kecil
bersama si adik
keluar tika senja
bermain girang
nun di belakang rumah
kedek-kedek dia mencari
terus diangkut pabila jumpa
tahan bas di depan
mahu dijual si kecil itu
di bawah jambatan
tempat dibeli dahulu
ugutnya
menangis sedu-sedan
si kecil tidak sedar
padahal yang memerhati
galak ketawa.
nakal.

anak kecil
disuruh solat
akur pada arahan
masuk bilik
kunci pintu
tiba giliran
si abang pula
sama
telah selesai
dipanggil kami
rupanya tadi dirakam
tiba masa ditayang
solat anak kecil pelik
ada adegan jelik
rahsiakan saja
solat si abang
tidak cukup hitungnya
mana pergi lagi dua rukuk
culas
pita itu wujudkah lagi?
mahu tatap kembali.
nakal.

anak kecil
seawal sembilan malam
sudah dikerah tidur
wayang-wayang menarik
baru saja mahu bermula
apakan daya
patuh
salam dua-dua
cium pipi kiri kanan
hidung dahi dagu
lengkap semua
selamat malam
i love you
i miss you
segala bagai
tutup pintu
tutup lampu
diam seketika
lambat-lambat
buat pakatan
turun senyap-senyap
sambung tonton cerita.
nakal.

anak kecil
bersama abang
bersama adik
baring-baring
kaki bersilang
tonton doraemon
juga yek yau kungfu botak
hadap lama-lama
tidak berganjak
keluar dia
dengan objek panjang halus
bertempiaran lari
bilik air cukup seorang satu
duduk diam-diam
mahu keluar
takut
objek panjang halus
menanti di depan pintu
tapi mahu tidak
tetap
tadah tangan
hulur belakang
merah itu rutin
kadang-kadang
buat giliran
sorok objek panjang halus itu.
nakal.

anak kecil
pantang ke pasar malam
merengek minta wang
'ceingget'
cukup untuk beli
tora datang lagi
tangan
mesti digenggam
erat-erat
bilang perlu selalu
cukup atau tidak
bimbang ada yang hilang
kerna itu biasa
baik di pasaraya
mahu dalam lif
turun naik
naik turun
kalut mencari.
nakal.

anak kecil
kini sudah besar
dewasa pasti
matang mungkin belum
doakan kami selalu
doa kamu kami dambakan.

hidup seperti dulu
mustahil.
hidupkan kenangan lalu
mesti.

Yang merindui,
anak kecilmu
22 Okt 2011

Oct 21, 2011

~Ketawa Bersama Hujan~


سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم
Alhamdulillah redup cuaca hari ini sangat didambakan. Perasaan terbuai asyik.

Nota bersepah-sepah diabaikan sementara. Raikan seketika titisan gerimis. Sambil menghirup secawan kopi suam. Nikmat.


Masa. Satu makhluk yang aneh. Makhluk yang unik. Makhluk yang ajaib. Panjang pendeknya bukan diukur dengan detik. Sekejap lamanya juga bukan dapat dihitung dengan jarum saat semata.

Keberkatan. Mungkin itu sewajarnya yang menjadi kayu ukur untuk masa. Namun untuk meraihnya bukanlah sesuatu yang mudah. Mujahadah yang tinggi sangat diperlukan.

Manusia itu seringnya sibuk mengejar masa. Sedang belajar untuk nyahkan jauh-jauh kata itu dari minda. Berusaha untuk bergerak lebih pantas. Mendidik diri biar dikejar masa. Sentiasa berusaha berada di hadapan. Diasak-asak agar bergerak pantas. Jangan pernah berhenti. Terus berlari. Doakan, agar dalam perlumbaan dengan masa ini, aku bisa jadi juara.

Kerana memang selayaknya masa mengejar kita, bukan kita mengejar masa.

Sudah hampir dua tahun berlalu. Dan masih lagi berbaki dua tahun. Mudah-mudahan dipermudahkan-Nya dalam usaha mencapai segulung ijazah. Ijazah untuk ummah. Dengan izin-Nya.

toleh ke belakang,
senyum-senyum sendiri,
melihat kelibat memori semalam,
bertatih mencari matang.

dan masih mencari...


Yang escapism,
SWOT Vac
(Study WithOut Teaching Vacation),
2nd year 2nd sem.