Feb 25, 2012

~02, 12, 22~


سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم


Alhamdulillah.
Februari 2012.
Angka pada usia bertambah lagi.


**********


Sutera ungu berbunga merah jambu
Pewangi Ambi Pur penambah segar
Abaya hitam bersulam manik putih
Sekeping baucer buku 1 Malaysia
Tas coklat berkalung keychain kelabu
Inspirasi wanita 'Biar Bidadari Mencemburui Dirimu'
Sekotak kek strawberi Secret Recipe
Kalungan doa tulus mohon redha-Nya


Terima kasih untuk semuanya.


Usia itu aneh
semakin meningkat
semakin menyingkat.



Yang makin berusia,
Macarthur Road
.

Feb 21, 2012

~Impian~


سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم



Impian itu apa?



...


.....


.......


..........




Impian itu,
sesuatu yang indah.

Impian itu,
gapainya bukan mudah.


Impian itu,
melenakan sukar.

Impian itu,
musuhnya keputusasaan.





Penulis impian,
Macarthur Road.

Feb 16, 2012

~Bertunaslah Harapan~



سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم


Malam ini malam terakhir setelah hampir 3 minggu memainkan watak sebagai guru tuisyen di Tunas Harapan Darul Hilmi. Terselit sedikit kesal kerana lambat menawarkan diri menyumbang secebis bakti di sana.

Sebak. Namun airmata ini sering ego tidak mahu gugur. Walau seorang demi seorang telah tewas menitiskannya dan tidak terkecuali yang bertakung bergenang. Ada yang merajuk melarikan diri tidak mahu bertemu. Mereka sangat jujur menampakkannya. Menambah sayu. Mungkin kerana pengalaman mengajar mereka perpisahan itu suatu yang sangat memeritkan. Acapkali hadir sebelum mereka sempat bersedia.

Sebagai watak sampingan dalam drama ini, aku berterima kasih digandingkan dengan watak-watak utama yang sangat hebat. Mantap. Mereka bukan calang-calang manusia. Anak kecil berjiwa besar. Tabah menghadapi mehnah yang pelbagai. Ujian mereka bukan ujian biasa. Kalau aku belum tentu masih bisa senyum jika dihidangkan tragedi seperti mereka. Tapi tidak mereka. Gelak tawa gurau senda mereka tidak pernah gagal kunjung mengetuk bahagia aku.

Allah memang tidak akan sekali-kali berdusta. Firman-Nya tidak akan sekali-kali tidak benar.
"Allah tidak membenani seseorang itu melainkan mengikut kemampuannya"
(Al-Baqarah ; 286)
Dengan jiwa besar yang dikurniakan, mereka menanggung bebanan yang tidak kurang besarnya.


'Ayah kita dah meninggal. Kena hukuman gantung.'

'Mak kita dah lari dengan lelaki lain.'


'Nenek kita isi borang, lepas tu kita dihantar ke sini.'

'Kita ada adik tapi mak kita dah jual. Balik-balik sekolah je kita tengok adik dah takde.'

'Kita tak tau pun adik-beradik kita berapa orang.'

Dipaparkan hanya sekelumit dari kisah mereka. Pelbagai lagi masih tersimpan utuh dalam nubari mereka. Biarlah rahsia.

Anehlah andai mendengar kisah mereka tidak mengetuk pintu syukur. Syukur dianugerahkan dengan bermacam nikmat yang banyaknya sering gagal disyukuri.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Benarlah kata 'Erti Hidup Pada Memberi.' Mereka telah memaknakan kata itu. Mereka telah memberi aku pengajaran tentang erti kehidupan.

Terima kasih adik-adik. Terima kasih untuk pertemuan ini.

Akak sayang adik-adik. Sungguh!

Insya-Allah tahun depan kita bersua lagi.



****************
Selamat mewarnai pelangimu,
adik-adik!

mimpi adalah kunci
untuk kita menakhlukkan dunia
berlarilah tanpa lelah
sampai engkau meraihnya

laskar pelangi
tak kan terikat waktu
bebaskan mimpimu di angkasa
warnai bintang di jiwa

menarilah dan terus tertawa
walau dunia tak seindah surga
bersyukurlah pada Yang Kuasa
cinta kita di dunia
selamanya…

cinta kepada hidup
memberikan senyuman abadi
walau hidup kadang tak adil
tapi cinta lengkapi kita

laskar pelangi
tak kan terikat waktu
jangan berhenti mewarnai
jutaan mimpi di bumi

menarilah dan terus tertawa
walau dunia tak seindah surga
bersyukurlah pada Yang Kuasa
cinta kita di dunia

menarilah dan terus tertawa
walau dunia tak seindah surga
bersyukurlah pada Yang Kuasa
cinta kita di dunia
selamanya
selamanya

-laskar pelangi-

Feb 11, 2012

~Gadis Kilang~


سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم



kalau ceri buruk kita campak-campak dalam reject lanes,
macam tu la jugak nanti manusia buruk Allah campak-campak dalam neraka.
wanau'zubillahiminzalik

01 Disember 2011. Itulah tarikh yang tertera dibawah status facebooknya. Status yang ditulis sepulangnya hari pertama bekerja sebagai cherry sorter. Pekerjaan yang ditunggu-tunggu setelah hampir berputus-asa dari sebuah penantian. Manakan tidak, hampir sebulan menunggu. Sampai terbit cemburu tika rakan-rakan yang lain seorang demi seorang ditawarkan kerja. Malah pernah terfikir untuk mengawalkan sahaja tiket pulang ke Malaysia seperti yang telah dibuat oleh Liya, satu-satunya rakan sekelas yang sebangsa dan setanah air dengannya.

Menari bersama takdir. Tarikh yang sama Liya pulang ke tanah air itulah dia mendapat panggilan telefon untuk memulakan kerja. Jam tanpa jarum di tangannya menunjukkan hampir ke pukul lima. Kelam kabut dia bersama dua lagi teman serumah, Nad dan Ana, mencari kereta untuk disewa dan dua orang lagi rakan bagi memenuhi seat kereta, membolehkan penjimatan kos semampu mungkin.

Kabut. Berusaha untuk tiba ke destinasi sebelum jam tujuh. Tapi sedikit terlambat. Setelah pohon maaf, mereka segera ditempatkan ke lane dan bermulalah misi pekerja berdedikasi. Dalam ketekunan memilih ceri buruk untuk dicampakkan ke dalam waste lane sambil dibantu pekerja senior, matanya ligat perhati kiri dan kanan namun tidak seligat tangannya yang hampir beku memilih buah yang sejuknya seperti keluar dari ais. Ah, alah bisa tegal biasa. Inikan baru hari pertama.

Menanti mana-mana pekerja yang keluar dari lane, mahu diikut jejaknya kerana solat Maghrib masih belum terlaksana sedangkan berbaki waktu yang makin suntuk. Mahu dikhabarkan pada supervisors tapi terselit segan, bimbang dikatakan baru tidak sampai dua jam clock in sibuk minta itu minta ini. Mencipta alasan. Ya, dia mencipta alasan untuk melepaskan diri. Diri sendiri semata. Minta izin untuk kononnya ke tandas. Berbekalkan wudhu' yang memang senantiasa diamalkan ambil siap-siap sebelum keluar rumah, dia terus pecut mencari tempat sujud. Pakaiannya juga memang dipastikan cukup syarat untuk melaksanakan solat walau tanpa telekung putih kegemaran muslimat Malaysia. Dalam gelap malam, mendengar beberapa suara turut sama tergopoh-gapah menyahut seruan di hujung waktu. Alhamdulillah wa Astagfirullah. Dimuhasabah kembali. Ternyata, imannya masih ditakuk hampas.

Selesai hari pertama di kilang. Walau beberapa jam cuma, cukup untuk dia menilai kembali diri. Tersedar, rupanya selama ini hidupnya diselubungi nuansa keangkuhan. Angkuh kepada Yang Maha Angkuh. Sungguh ajaib lagak berlagaknya pada Tuhan. Memang manusia tidak sedar diri, tidak sedar dek untung!

********************************************************************

Nasiblah dia tidak menilai hari-hari berikutnya dengan gambaran hari pertama sahaja. Kerana pada episod seterusnya sebagai pekerja kilang punya kisah yang variasi. Dalam kisah dia punya cerita mereka dan begitu juga dalam kisah mereka punya cerita dia. Berkongsi gelak-tawa mengisi ruang waktu yang berlalu.

Rutinnya kini sebagai gadis kilang banyak beza dengan dulu. Usai solat Subuh, sebelumnya, pasti dia akan meraikan nafsu lena. Manakan tidak, waktu fajar terbit di kala musim panas di sini biasanya seawal jam 4:XX AM. Pernah juga belum sempat jam empat, azan Subuh sudah berkumandang dari speaker laptop. Ah, alasan mungkin. Tapi kini, selesai solat Subuh, belek Quran, habiskan bacaan Al-Mathurat dan siap-siap urus diri. Kalau disambung tidur bimbang terlajak. Perlu keluar rumah sebelum jam tujuh untuk clock on jam 8 kerana perjalan memakan masa lebih kurang satu jam.

Masuk jam 8, supervisors dan boss pastinya sudah tiba lebih awal. Kagum dengan mereka. Sungguh, cara mereka jelas wajar dicontohi. Pernah anda lihat boss sebaris dengan pekerja bekerja bersama-sama? Benar-benar bersama, berdiri di sebelah anda, buat apa yang anda buat. Pernah anda lihat boss sapu lantai? Pernah anda lihat boss angkat kotak? Ya, boss dan supervisors di kilang tempat dia bekerja buat semua itu.

Jam 10 AM disediakan makan ringan. Alas perut sebelum makan tengahari. Makan tengahari tidak disediakan. Masing-masing bawa bekal. Ada yang beli sepulangnya dari kerja hari sebelumnya atau membuat giliran memasak. Kadang-kadang masak lewat malam selepas balik kerja atau jika kepenatan malamnya, masak awal pagi sebelum ke tempat kerja. Seronok begitu. Merasa air tangan rakan-rakan yang punya skill tersendiri.

Waktu rehat jam 12 itulah yang sentiasa ditunggu-tunggu. Menanti giliran untuk panaskan makanan dalam microwave yang disediakan sambil bertukar cerita dengan mereka. Menghampar alas hijau di atas rumput hijau, duduk bersila sambil bertukar makanan. Rasa-merasa. Mendengar celoteh mereka, mengukir senyum memecah tawa. Sungguh girang. Makan sudah, solat Zuhur pun sudah. Musollanya di bawah pohon redup itu. Bersama mengangkat takbir, sujud bersama yang sujud, rukuk bersama yang rukuk. Wujudnya jemaah di situ.

Hari Jumaat sedikit berbeza dengan hari-hari lain. Mereka diberi rehat jam 1. Hal itu bagi memberi ruang waktu yang cukup untuk menunaikan solat Jumaat. Terima kasih kepada artikel no. 18 yang meletakkan Freedom of religion and belief sebagai salah satu Australian Human Rights yang memudahkan golongan minoriti di sini beramai-ramai, yang jejaka mahupun yang gadis, tekun mendengar khatib muda berbicara di bawah pohon yang sama. Isinya dia kira padat walau khutbah itu ringkas tanpa mimbar.

Kebiasaannya, setiap dua jam bekerja akan diberi rehat beberapa minit. Tapi pernah juga dilajakkan sampai tiga jam tanpa rehat. Waktu rehat yang sedikit inilah yang bergelar Muslim berkejar-kejar menunaikan solat Asar dan kadang-kadang solat Maghrib andai buah yang perlu di sort banyak pada hari-hari tertentu. Benarlah solat melatih disiplin diri.

Minggu pertama bekerja memang memenatkan. Mana tidaknya, clock in jam lapan pagi, clock off jam 10 malam. Belum ditambah jam perjalanan. Setibanya di rumah, tunai solat Isya', urus diri ala kadar terus dibuai mimpi. Memang. Kini dia setuju dengan mereka yang mengulang-ulang kata, 'zaman belajar zaman yang paling enjoy', 'life sebagai pelajar adalah yang paling ideal'. Kehidupannya sebagai 'wanita berkerjaya' sangat membuat dia menghargai penat lelah ibu dan bapa di tanah air.

Keadaan rumah tangga bujangnya saja sudah agak tunggang-langgang. Semoga pengalaman ini menjadi iktibar untuk dia lebih belajar ilmu pengurusan rumah tangga kerana pasti itu nanti menuntut pengorbanan yang lebih besar. Padanlah juga ramai yang mengingatkan agar mencari pasangan yang saling memahami. Sefikrah kata mereka. Kerjaya, memang ramai sedia maklum menjadi faktor futurnya seorang da'ie dalam jalan dakwah, andai tiada yang dekat mampu memimpin untuk bangkit setelah jatuh. Lagi-lagi dia itu perempuan.

Teringat dia akan kata-kata Ustaz Azhar, Ustaz Selebriti tanah air;

'Lelaki soleh digalakkan kahwin dengan perempuan tak solehah, perempuan solehah tak digalakkan kahwin dengan lelaki tak soleh.'

Dan kerana dia tidak solehah, dia mengharapkan yang soleh membimbingnya menjadi solehah. Ah, berangan! Mana mungkin yang soleh mahukan yang tidak solehah seperti dia. Okay. Noktah. Sekadar selingan.

*************************************************************


kalau sanggup berdiri berbelas-belas jam bermotivasikan gaji yang dibayar,
ketahuilah GAJI dari Allah jauh berjuta-juta kali lipat tiada hitung nilainya.

~kaya dunia sementara cuma, kaya akhirat selamanya pasti~

08 Disember 2011. Status ditulis setelah melihat nilai $$ yang tertera di laman NetBanknya. Kali pertama mendapat gaji. Hasil seminggu berpenat lelah. Alhamdulillah.

Dalam seminggu hanya dibenarkan mengambil sehari cuti. Mereka satu kereta telah sepakat untuk cuti bersama. Seperti yang dirancang, mengambil cuti setelah gaji pertama masuk. Kononnya mahu 'berfoya-foya'. Tapi alih-alih sehari itu dihabiskan untuk uruskan rumah tangga dan urusan peribadi masing-masing. Menyelesaikan urusan kain-baju, pinggan-mangkuk segala bagai.

Selesai itu, dia keluar membeli barang dapur yang hampir kehabisan stoknya. Perjalanan pulang dari Coles, pasaraya terkenal itu, singgah sebentar di tasik mini buatan manusia. Buku dikeluarkan, dibelek sehelai demi sehelai. Setelah sekian lama akhirnya punya waktu untuk itu. Sampai rumah, dia senyum lebar-lebar. Puas. Petangnya keluar ke pejabat pos mengambil bungkusan yang sudah lama dia tunggu. I-Phone 4s. Moga dengan canggihnya alat itu menambahkan lagi kecanggihan pada ibadat. Senyum lebar-lebar lagi. Hari yang sama juga menerima kunjungan tetamu. Teman-teman seusrah yang sangat dirindui dan pasti juga yang merindui dia. Mereka masak-masak bersama. Dan senyum lebar-lebar lagi.

Sehari yang penuh makna. Cuti yang memberi erti. Benarlah kata pujangga, masakan dapat dirasai nikmat rehat andai diri tidak berpenat. Ya, nikmat rehat dari bekerja itu sangat manis. Lantas, azam baru dipasak, untuk berpenat-lelah di dunia agar mendapat rehat yang sebenar-benar rehat di Sana kelak. Mudah-mudahan. Aminkan untuknya.

Bermula minggu kedua bekerja. Minggu ini, dia memutuskan untuk memandu sendiri. Kereta pertama hasil gaji pertama. Moga kereta itu mampu membantunya memecut ke Syurga kelak. Dalam debaran, dengan lafaz nama Allah, dia memulakan pemanduan jarak jauh, jauh baginya, buat kali pertama, bersama ahli kereta yang setia menemani walau mungkin kurang yakin dengan pemanduannya yang masih amatur.

*******************************************************************

Hari-harinya terus berlalu. Imbas kembali soalan-soalan teka-teki penghapus bosan ketika memilih ceri, cerita-cerita lawak penyeri suasana, pantun dua kerat, empat kerat malah tiga kerat dari minda kreatif mereka, serta alas hijau dan segala kisah diatasnya akan terus bersemadi dalam lipatan ingatan. Setiap permulaan pasti ada akhirnya. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Harvest Celebration mengunci memori indahnya sebagai gadis kilang selama kurang lebih tiga minggu. Menikmati lamb chop, beef chop, sosej dan ayam panggang setelah berasap tanpa arang. Dijamin halal. Kerana yang menyediakannya rakan-rakan sekerja Muslim atas keprihatinan dan sensitiviti pihak atasan walau mereka not-yet Muslim. Doakan moga mereka peroleh hidayah itu. Hidayah hidup bertuhan dengan Tuhan Yang Satu.


Dan doakan dia masih diberi peluang untuk mengutip mutiara-mutiara pengalaman seterusnya di tahun hadapan di samping mengutip matawang Australian Dollar untuk dibawa pulang ke tanah air. :)

*************************************************


Dan di wilayah inilah aku belajar erti cinta sebenar-benar Cinta.



Wandin Valley Farm,
Wellington Road,
Summer 2011.


Feb 2, 2012

~Rahsia Bicara~


سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Sungguh. Walau sudah berjuta kali mendengar perkataan itu, tapi kali ini sangat lain, sangat tidak sama. Berbeza sungguh.

Lirih, sayu, suka, riang, harap. Sukar untuk ditafsirkan emosi disebalik lafaz ringkas itu. Terngiang-ngiang suara yang sama berulang kali. Tercari-cari jawapan kepada persoalan dari kelainan yang dirasa.

Mata dipejam rapat-rapat. Dengar suara itu. Lagi. Dan lagi.
Pabila minda gagal, hati mengambil alih. Berhempas-pulas. Bergandingan mencari punca.

.
.
.

IKHLAS!


Ya, mungkin itu yang dicari disebalik lafaz ...

'Terima kasih, kak.'

Terima kasih yang penuh dengan kasih. Menjadikan lafaz itu bukan sekadar lafaz tapi lafaz penuh makna.



Mengajar diri berusaha memberi kuasa pada bicara. Walau kata itu biasa namun mampu menjadi luar biasa. Dengan kuasa ikhlas.


'Terima kasih, dik.'



Mahu setabah mereka,
Tunas Harapan Darul Hilmi,
01022012.