Oct 22, 2010

~Harus Tabah Ketika Rebah~


Subhanallahi wabihamdih
Subhanallahil a'dzim



Dia melontar pandangan keluar dari jendela Baillieu Library setelah penat menunduk mentelaah. Memandang beberapa kelompok pelajar melepaskan lelah di bawah sinaran terik mentari di dataran padang menghijau merupakan satu kebiasaan tika musim ini. Pelik, namun mungkin mereka sedang menghargai nikmat mentari setelah berbulan-bulan di balut dingin.

Entah mengapa, pandangan itu membawa dia menerjah memori-memori silam di Bumi Waqafan. Memori yang menjadi episod bahagia dalam filem pendek kisah hidupnya.

Bumi Waqafan. Walau dia bukanlah siapa-siapa, hanya memegang watak yang sangat tidak signifikan, tidak dikenali nama mahu susuk tubuh, tidak seperti mereka yang lain, tapi dia suka begitu, di sana. Bahagia.

Bumi Waqafan. Musolla Saidatina Khadijah menyaksikan dia bertatih-tatih kecil mengenal Sang Pencipta. F32 menyaksikan hikayat ukhwah dia dan mereka yang penuh suka mahu duka. Kelas Al-Biruni menyaksikan kisah mujahadahnya dalam meneguk setitis ilmu. Dia seolah punya kehidupan lain, dunia baru di sana. Indah.

Bumi Waqafan. Keindahan, kebahagian itu hanya sempat dirasai 2 tahun. Tempoh singkat yang seboleh mungkin ingin dibekukan kaku. Biar dia terus berada di dalam detik itu.

Bumi Waqafan. Kini telah 3 tahun berlalu. 3 tahun yang menuntut kekuatan yang bukan sedikit. Kekuatan untuk terus kekal seperti dahulu. Kekuatan untuk terus pasak pada kalimah 'Fastaqim Kama Umirt' yang menjadi buah zikir warga Waqafan tika zamannya. Kekuatan yang seringkali dia gagal kecapi.

Bumi Waqafan. Dia akui, acapkali dia rebah tersungkur dalam perjalanannya. Acapkali tali prinsip yang pernah dia pegang dulu kian longgar, acapkali juga tali itu terlepas tanpa dia sendiri sedari. Dia tahu akan hakikat untuk thabat itu tidaklah mudah, untuk sering futur itu tidaklah sukar.

Ehhmmm...dia melepaskan keluhan panjang, dengan harapan mampu melepaskan resah di jiwa. Resah dek kerana diri yang semakin degil.


Justeru,
dia sentiasa berharap akan ada tangan-tangan
dihulurkan untuk dia terus bangkit tika jatuh terduduk.
dia sentiasa berharap akan ada tangan-tangan
dihulurkan untuk bawa dia berlari bersama mengejar jannah.

dan tangan-tangan yang diharapkan itu
adalah tangan-tangan kalian.


Dia,
si degil yang pernah berteduh
di bawah teduhan usang Waqafan
22 Oktober 2010
Baillieu Library

Oct 16, 2010

~Kasih-sayang Itu Hadir Seiring Tanggungjawab~


Subhanalllahi wabihamdih
Subhannallahil a'dzim

Alhamdulillah. Masih diberi kesempatan merasai nikmat hidup.

Terlalu banyak isi-isi dalam kehidupan. Dan saya acapkali lupa mensyukurinya!

Kematangan itu bukan pada usia tapi amal dari ilmu di dada yang menentukannya. Dan saya masih sangat-sangat tidak matang!

Bagaimana anda menilai seseorang itu mencerminkan diri anda yang sebenar. Dan saya sering silap menilai orang mencerminkan diri saya yang sentiasa membuat kesilapan!

Mereka sentiasa menjadi lebih bagus. Dan saya masih di sini dan begini!

Kata mereka kasih-sayang itu mesti dibuktikan dengan tanggungjawab. Dan saya bilang sayang tapi tidak pula bertanggungjawab!

Jalan yang sukar itu tidak ramai yang pilih. Dan saya selalu memilih untuk mengambil jalan mudah walhal jalan mudah sekarang akan menyusahkan kelak!

1 maksiat 40 tahun yang lampau masih mampu mereka ingat. Dan saya sudah lupa dosa-dosa sebentar tadi!

Buat yang wajib dan tinggal yang haram itu untuk orang awam. Dan saya tidak mahu sekadar jadi orang awam tapi yang wajib masih terasa berat nak buat, yang haram susah nak tinggalkan!

Orang yang terlalu mengikut emosi itu tidak bijak. Dan saya selalu terikut emosi bermakna saya tidak bijak!

... dan saya perlu berubah!!!


Usrah tadi memang buat diri terpukul. Hamdalah!

16 Oct 2010
budak yang sedang homesick
rindukan mereka di tanah air
=)