Dec 20, 2013

~ Kriminal Cinta (?)~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Kenangan menderu di minda
Pengganti kata, menoktah kalam
Banyak yang terungkap
Sekadar tersekat dalam nubari

Hari ini
Cuba aku biarkan semua mengalir

Kisah semalam yang tergores khas
Tersemat kemas dipacu waktu
Kisah sebuah masa lalu
Pasti tak mudah terlerai begitu

Ada cinta yang tercedera
Butuh rawatan sesegeranya
Ada hati yang pedih perit
Ditusuk rasa yang zahirnya tiada

Hari ini
Kisah itu hanya saja episod masa lampau

Sebelum aku berterima kasih
Pada segala yang memberikanku kehidupan
Sebelum aku berterima kasih
Pada tindakan bijaksana yang dipilih

Hari ini
Episod baru telah menjengah

Andai aku menangis
Teresak aku sambil terketawa
Andai itu sebuah penyesalan
Kesal itu memori manis
Andai wujud rasa tersiksa
Bukanlah ia rasa yang sia-sia

Kerna
Sekurangya - untuk aku
Buat aku mengerti
Tentang CHENTA

Dan untuk kamu
Jadilah pencinta yang Hebat!
Moga cerita masa belakang
Tidak bersembunyi di masa depan

Usah rasa serik
Usah pernah gusar
Dengan karma ciptaan mereka
Andai kau yakin
Bahawa kau pejuang cinta

Sebelum takdir menjalankan tugas
Aku hembuskan doa
Semoga bahagia mengekorimu
Sering dan selalu.

Selamat
Berbahagia
(!)


Dalam bisu tutur kita
19 Disember 2013
Windsor

Oct 22, 2013

~Manusia~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم


Walau kaki pasak kukuh di bumi
Masih juga meneka-tanya kisah di langit sana.




22 Oktober 2013
Penghujung waktu - bakal tammat

Oct 21, 2013

~Selongkar~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم


Semalam --
Dalam diari renyuk, lusuh.
Aku temukan kisah mereka.
Pahit juga manis.

Esok --
Dalam sesawang jemu, kusam.
Mereka temukan kisah aku.
Juga sama - pahit, manis.

Kerna yang aku punya
Hanya itu.




21 October 2013
yang kadang-kadang bukan -aku-

Sep 26, 2013

~Mencari Gua Hira'~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم



Pernah rasa ini?

"Mahu saja lari dari sini
Tiada perlu hirau kata manusia
Biar hanya fokus pada bicara Tuhan."


Dia juga rasa. Lama dahulu.

".... Wahai, betapa baiknya aku mati sebelum ini,
dan akan menjadi seorang yang tidak diperhatikan dan dilupakan."
(19 : 23)


Usah hairan,
andai esok dia  hilang.

Aug 27, 2013

~REB4H~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Kerna cinta bertebaran memenuhi ruang seisinya,
Justeru aku namakan ia Dataran Chenta.



Dulu pernah aku tahu,
Tuhan menciptakan manusia hanya kerana Cinta, semata.


Dan kini aku tahu,
Perang itu juga tercipta kerana cinta!


......................................


Perlengkapkan jiwa
Kerelaan untuk sengsara
Kesediaan untuk merana
Demi sebuah Cinta

Dan rasailah kesakitan darinya.



Lalu, berterusanlah tanpa henti
Menjadi pen(C)inta yang hebat
Memainkan ritual-ritual romantis
Sehingga tenggelam mendalam

Dan rasailah kemanisan darinya.







Kalis Cinta,
25 Ogos 2013
Rally for Egypt
Victoria State Library - Federation Square

Jun 16, 2013

~ Mencari Tuhan~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم


"Apa mahu kamu?"

"Aku mahu tahu apa bilang Tuhan perihal aku."

"Untuk itu, jawab dulu apa bilang kamu perihal Tuhan."

" ...... "



 


Dalam mainan minda seringkali begitu.
Pada persoalan yang aku wujudkan.
Diargumentasikan dengan persoalan yang lainnya.

Ya, dewasa itu sungguh memenatkan.
Kur, semangat!


 
Awal musim dingin,
Moga ia tidak membekukan
 
Akal dan emosi

May 14, 2013

~Sandiwara Rasa~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم
Nota merah jambu.  
Kutitipkan buat diri.  
Agar bersabar bertabah.  
Dalam memapah cinta.

Pada cerita semalam. 
 Berbekas jelas di pelataran jiwa.  
Ada luka mulai pedih.  
Tinggal parut pada kenangan.

Letih merayakan kehampaan hati. 
Sembunyi diam dalam sunyi. 
 Mengharap kata tiada mampu dilafaz.  
Bersemayam lekat di hujung jiwa.

Dalam menjejak sebuah rasa.  
Jaraknya jauh bukan kepalang. 
 Mungkin tiada berhujung bahagia.  
Lalu mahu ke mana langkahan ini?

Bingung aku sendiri. 
 Menyendiri. Memerhati. 
 Digapai tidak dilambai tidak.  
Hanya mampu terpinga ternganga.

Berjalan aku seiring waktu.  
Mohon dibantu hadapi nestapa.  
Dituntun dibawa menuju redha.  
Tidak tersungkur dilanggar batasan.

Tidak mahu diri terusan bermimpi. 
 Tapi tidak handal aku menyusun soal. 
 Lalu berteleku di bawah rimbun harap.  
Yang demaunnya kian kuning menggugur.

Kadang ku pinta pada-Nya.  
Mohon dihapuskan rasa yang satu. 
 Rasa yang hadir seiring beban. 
 Terpundak berat dígalas rahasia.

Bantulah aku wahai Tuhan! 
 Kusandarkan segala hanya pada-Mu. 
 Lemparkan segala angan dan angau.  
Jauh-jauh nun ke samudera sana.


Sendiri tanpa cinta,
Di beranda hati yang usang.
10 May 2013.

May 7, 2013

~Aroma Sekuntum Demokrasi~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم


[1]
Aroma sekuntum demokrasi.

[2] 
Merebak merentap serelung duka
Bikin marhaen terluka penasaran.

[3]
Ayuh duduk bersila bersama
Duduk santai berdehem wibawa
Melihat opera ditayang umum.

[4]
Dicitrakan pertelagahan puak dan bangsa
Terhidang fatwa mufti dan ulama’ begini
Beda kata parti sekian sekian begitu
Tambah lagi media perdana yang kian tandus.

[5]
Musnah berkecai sorakan senada
Hancur lebur mimpi kisah romantis
Akan peri sebuah negara utopia
Untuk dicoret ke dalam memori
Buat tatapan generasi warisan.

[6]
Jenuh rakyat dipongah dipandir
Jiwa layu terusan digugah
Medan nafsu terusan dijolok
Yang gelap kian kelam
Yang kelam diselaputi zulumat
Sukarnya cahaya tembusi selubang jarum.

[7]
Kerana kita sudah merdeka
Bahkan kita sangat merdeka
Mentafsir dunia seenak rasa
Berkira bicara semampu mahu
Dilaga-laga si anu gitu dan gini
Tanpa terpalit rasa berdosa
Tiada gerun neraka maha seram.

[8]
Pergolakan terus-terusan dicanang
Rasa cinta diramas dalam genggaman
Disorok yang hak ditabur yang batil
Hai dunia politik penuh klimaks
Lelah si muda turun ke jalan
Penat si tua memerah keringat
Menjerit melolong menadah reformasi
 Hampir saja rebah berkejaran dengannya.

[9]
Semakin terngiang suara sumbang
Semakin sayup melodi syurga
Kepada siapa mahu diadukan?
Kepada siapa mahu dibisikkan?
Kalau bukan pada Yang Maha Segala
Hanya dijemari-Mu kuasa tercipta
Hanya dijemari-Mu kuasa dihancurkan
Kerana selayaknya aku tiada mampu
Hanya hamba sahaya menanti hitung-Mu.

[10]
Dan sekuntum demokrasi yang kian layu
Berharapkan agar bisa mekar kembali
Hasil tangan-tangan kita bersama
Jambangan demokrasi moga terus subur
Dicucuk ditanam di taman-taman indah
Melepaskan aroma mewangi menusuk nubari
Dibawa angin ke pelosok ruang
Menjadi hiasan sekalian penduduk
Disimbah mentari bertambah segar
Terlihat terang disuluh rembulan.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10]
Titik.


Dan satu helaan nafas
Panjang, Frustasi; 
Mengudara.
Pasca PRU 13
06 Mei 2013





Apr 7, 2013

~Melambai Dandelion Pergi~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

gambar ihsan google
Dandelion -- Nama yang jarang menyapa deria dengar. Asing dari keramaian. Lantas tidak terprediksi akan apakah ia. Sekali, diilhamkan Tuhan akan peri maknanya. 

Tergelintang serak kisah sebuah kehidupan. Perihal membesar ternukil di atas naskhah kumil, perjalanan ke arah tua bakal tercatit di lembaran lainnnya.


Untuk ditelanjangkan semuanya di sini, terlalu banyak. Membahas cerita jiwa, mengendah suara batin, adalah suatu kesia-siaan. Sekadar untuk membuang sesak yang terbeban, menterjemah rasa pada kata yang acapnya menyepi. Sekadar untuk zahirkan sebuah kepedulian dalam usaha memahami kompleksnya diri.


Dan tika dandelion singgah di hadapan, diajarkan aku citra hidup.


Dandelion mengajar aku. Menari riang bersama hembusan bayu. Percaya pada firman Tuhan. Bertahan dan berbahagialah dalam rintih doa, yang sering diaminkan. 


Dandelion mengajar aku. Tumbuh dan berkembang dimanapun terhenti dituntun angin.Yakinlan akan terbina dunia baru yang lebih indah.


Dandelion mengajar aku. Tidak sempat indahnya terlihat lama, merekah halus sebelum satu-satu jauh mengembara. Terlihat ringan dalam perjalanan memaknakan ikhlas dalam perjuangan.


Dandelion mengajar aku. Pohonnya mengakar ke bumi, bunganya menggapai ke langit. Utuhkan pasak pada asas, realisasikan mimpi-mimpi indah selainnya.


Dandelion mengajar aku. Walau terkurung dalam keterasingan, walau namanya tidak segah mawar nan merah tapi manfaat terus ditabur. Mengajar seorang aku secangkir nilai kehidupan. Kesederhanaan yang memikat.


Dandelion mengajar aku. Dibisikkan pada aku persoalan, "Yakinkah? Tawakkul kamu di mana letaknya?". Tunduk aku meraih jawap. Sepi.


Dandelion mengajar aku. Untuk berhenti mendiam lalu pupus atau terbang bebas menyebar benih. Memilih. Yang bersenang-lenang di sini, saat ini atau bahagia di sana, kelak.


Dan di akhirnya aku tersenyum-senyum sendiri. Proses mencari dewasa, ditemukan aku dengan kawan putih itu. Walau tidak ia setia di sisi, tapi singgah membawa isyarat dari Sang Pembesar Jiwa. Pasti  hadir dengan pelbagai makna. 


Dan Dandelion itu perlahan-lahan melambai. Belajar lagi aku, ikhlas melepaskan pergi. Tersenyum melihat semuanya menari berterbangan di langit biru. 





Selamat Tinggal Dandelion,
Sahabat baruku.
07 April 2013
 

Feb 8, 2013

~Pipit dan Garuda~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم
Bertenggek
Sebelum membelah awan
Sebelum menepis angin.

Setelah bersiaga

Sayap dikepak seluasnya.

Terbang

Meninggi, melaju, menjauh
Sekuat kudrah.

Menuju Sorga

Barangkali.


23 Januari 2013,
Warna-warni kehidupan.