Mar 31, 2012

~Post Balas~


سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم


Jalan-jalan maya di sana. Terjumpa sesuatu yang berharga. Sangat!

Sebak. Sambil kenangan zaman muda-muda diputarkan berlegar di minda.

Rindu. Namun mustahil untuk berulang lagi.



Kata kamu,
'Sahabat itu karier sepanjang hayat. Tidak ada cuti mahupun MC.'




Ya, setuju! Kamu tidak pernah cuti dari menjadi seorang sahabat yang baik.
Dulu, kini, dan selamanya. Pasti!




Doa Rabithah dilagukan. Dan wajah kamu jelas terpancar.

'Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya'



kudambakan tika ini
sepasang kepak ajaib
bawaku terbang ke sana
mengulit kenangan indah bersama.




untuk post itu,
terima kasih, kamu!


walau mungkin kamu belum pernah singgah di sini. :)

Mar 29, 2012

~Risalah Perantau~


سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Gadis kecil terus berkolek
Melabuh sampan di muara damai

Curahkan gusar
pada sirat akar merimbun
Gugurkan resah
pada kilas angin mendesir
Lemparkan buncah
pada air yang berkocak
Leraikan kusut
pada sapa unggas berbisik

Menafikan kosong lohong bolong
di jiwa

Dicampakkan sepi ke daerah silam
Ditemukan dengan wajah masa lalu
Menarikan memori seiring kenangan
Cerita semalam yang tiada akhir

Rintik hujan menyanyikan
Kisah sulit yang digapai
Kisah duka yang diharungi
Kisah perit yang dilalui
Semusim pancaroba

***

Tuhan! Tuhan! Tuhan!
Tersentak
Gementar jiwa tika nama Satu diseru
Setelah sekian lama diresap angkuh
Menidakkan segala asrar-Mu
Menjauh dari jendela huda-Mu

Dan kini, di sini
Tatkala dermaga kian menua




Terima kasih, Tuhan.

Mar 20, 2012

~Diketuk Rindu~


سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Teman, carilah aku!

Yang jauh, yang dekat
Yang lama, yang baru

Maaf,
Andai mata berlagak buta
Maaf,
Andai mulut berlagak bisu
Maaf,
Andai telinga berlagak pekak

Walau banyak bicara
Tidak aku lafaz
Namun ketahuilah
Rindu tidak pernah luput

Tika aku sendiri
Memandang awan
Menatap langit

Hadir seberkas cahaya
Menyuluh bayang
Cerita semalam

Datang suara angin
mendendangkan lagu
Kisah kelmarin



Aku merindui semua

Semua.



Senyum yang tersimpan,
Brownless Library.

Mar 16, 2012

~Bumi Disimbah Tangis~


سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Larikkan mata penamu,
Izinkan tinta mengalir.


Nyalakan marak hamasah
Jerit lolong marhaen
Pekik laung syabab
Teriak, tempik, gempita
Biar sampai tembus jiwa lena.

Cantas fitnah mereka
Cucuh dengan fikir
Jentik dengan zikir
Sepenuh sarat tenaga
Biar sampai nifaq itu luntur.

Ada sepi berbisik
Ada jelas berbicara
Ada lafaznya puitis
Ada tuturnya mistis
Biar sampai yang haq rentasi batil.

Daerah murka ini
Jangan selamanya dihinggapi dosa
Daerah duka ini
Jangan selamanya dirayapi rintih.

Tebaslah kemungkaran
Biar berbenih keredhaan.



Detik membuka tirai laila
Senandung munajat kutitip
Moga Subuh esok hari
Bumi ini hijaunya bertambah.


Menjengah malam,
16 Mac 2012

Mar 14, 2012

~Dilema Hawa~


سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم


"Adam, kenalilah Hawa. Tolong!"


Minggu ini, bertimpa-timpa aku menerima panggilan dari teman. Teman jauh, mahu teman dekat. Mukadimahnya esak tangis. Puncanya pelbagai.

Lama aku diam. Cuba menangkap gelora hati, membaca gejolak jiwa. Namun yang terzahir hanya alunan sedu-sedan.

Jujur, aku tidak sepenuhnya mengerti.



Hawa itu kadang keliru. Mahu terus membisu, bimbang disalahtafsir. Mahu berlaku jujur, terpalit segan. Mahu menutur kata, bimbang hati dicemari.

Hawa itu kadang cemburu. Melihat yang lain mendapat itu ini tika dirinya diketerbatasan mampu.

Hawa itu kadang buntu. Mahu diceritakan, dia juga tidak tahu apa puncanya.

Itu kisah Hawa. Mungkin kisah itu tidak bisa menyentuh hati seorang Adam, tapi jika dia Hawa, jiwanya pasti meruntun sayu mendengar bicara teman itu.

Aneh bukan? Ya, kerna Hawa itu sifatnya aneh.

Lalu, harus bagaimanakah?

Pasti, aku juga tidak punya jawapan untuk itu.




Hawa. Hatinya sangat rapuh. Jiwanya sangat sensitif. Matanya mudah saja berkaca. Kata mereka itu tanda lemah. Tapi aku bilang itu fitrah.

Bukan mereka mahu mengundang simpati, tapi cukup untuk meluahkan rasa di hati. Jangan sesekali terjemahkan itu sebagai kekalahan. Tidak sama sekali! Itulah sebenarnya punca kekuatan dalam ketahanan mereka.





Adam, aku khabarkan bukan untuk minta engkau mengerti, kerana aku; Hawa, juga tidak pernah mengerti.

Cukuplah agar engkau tahu. Moga engkau tidak mudah mengusik hatinya. Hati yang punya sarat perasaan. Perasaan yang kadang menjerat dirinya dalam silap menterjemah erti di sebalik kata seorang Adam, dalam silap mentafsir maksud di sebalik tingkah seorang Adam.


Berhentilah. Supaya mereka tidak kepenatan berjuang seorangan andai saja engkau turut sama berjuang.




Harungilah sujudmu ketepian Redha-Nya. Kirimkanlah untaian kata indah lewat doamu. Moga Hawa itu terus kuat!



Aku pernah jadi perempuan.
Aku pernah jadi gadis.
Aku pernah jadi wanita.
Kini, biar aku jadi muslimah.


bingkisan teman,
dari Hawa buat Adam.


Mar 13, 2012

~Ceria~


سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم


"Salam...akak.ape cer?akak wat ape?
kitorang rindu nk belajar ngn akak.."




Ini mesej jam 1.55 AM waktu Melbourne. Dikirim dari dia (mereka) yang aku rindu. Isinya mungkin biasa-biasa sahaja. Tapi tetap, buat hati tertawan.





Tak sabarnya nak balik!




Noktah.





yang mengintai laman airasia,
13 March 2012


Mar 11, 2012

~Berdua Lebih Baik~



سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

"Dan mereka merancang, Allah juga merancang,
dan Allah lah sebaik-baik perancang."
(Al-Imran : 54)

Aturan Allah itu sememangnya jauh lebih baik dari apa yang kita rancang.

Perjalanan kamu yang asalnya hanya untuk transit semalaman bertemu muka untuk mengutip barang satu dua hikmah dari wanita hebat yang menutup wajahnya di khalayak ramai, siapa sangka diatur Allah bertukar menjadi dua minggu cukup.

Dua minggu bersama kamu, membantu aku mencari diri. Carian yang barangkali tidak akan pernah ada hujungnya.

Selama tempoh keberadaan di sini, kali pertama perjalanan pergi dan pulang sekolah berteman. Keluar berkejar-kejar di pagi hari, melihat hiruk-pikuk sibuk manusia mengurus dunia. Pulang bersantai-santai di malam hari, memerhati bulan bintang bertaburan di angkasa. Sambil bertukar cerita, berkongsi pandangan, diselangi muzik pilihan hati.

Singgah di Princess Park, sepulangnya dari Malaysian Hall, bercerita tentang impian kamu dan aku dalam dingin pekat malam. Impian kita. Aku doakan akan tergapai impian murni itu. Moga dalam tempoh terdekat ini.

Pusing-pusing Melbourne University. 'Klik-klik' pada binaan yang indah. Mungkin aku yang lebih klik dari kamu. Sebelum ini tak pernah nak endah. Biasalah, selalunya benda depan mata jarang nak dihargai.

Lepak-lepak di tepian pantai Brighton Beach. Hanya kita berdua, bersaksikan zikir sang camar di bawah malap lampu neon di atas rumah papan warna-warni sambil kamu men'dakwah fardhiah'kan aku. Cerita itu ini, ajak aku untuk ajak yang lain sama-sama merasa apa yang kita rasa. Di malam itu juga, adegan mendebarkan dikejar ditahan polis pasti tersemat dalam ingatan.

Berpagi-pagian pillow talk, mencungkil gosip mengorek kisah. Bicara wanita. Dari hati ke hati. Diselang hilai ketawa, disulam diam yang panjang.

Berukhwah bersama teman serumah di Il Dolce Freddo menikmati aiskrim. Tidak disangka rezeki AUD 300 menjadi milik kita berempat. Terima kasih Dato' Anonymous. Duit Dato' bolehlah diguna untuk program hujung minggu yang kamu rancang; "WoOWee!" (Wonderful Overseas Weekend), itu niat kamu.

Berbagai cerita tentang flight dan airport yang menduga pelbagai rasa disebaliknya. Bermula dengan menanti teman hingga jam 3.30 A.M yang tidak kunjung tiba dek kerana salah faham tarikhnya sehinggalah berkeping-keping tiket yang bukan murah nilainya ter'hangus' begitu. Dan kamu tenang sahaja menggali hikmah.


Berdua lebih baik. Jika berdua itu dengan insan seperti kamu. Yang saling mengingatkan apa yang lupa. Yang saling berpesan pada yang benar. Yang saling menegur ada yang silap.



'Masih kanak-kanak ribena yg ceria.' - Itu kata seseorang yang ku kenal dulu.

'Perlu lebih serius!' - Pesan kamu yang sedang mengenaliku.


Sangat jelaskah ketidakmatangan aku? Ya, akan aku ubah! Tidak mudah, pasti. Doakan.


*********************


Kakak Welly,
maafkan segala salah silap. Terima kasih untuk segalanya.

Moga kembara Melbourne ini, menjadi jambatan untuk teruskan kembara ke syurga abadi Nya.




... dan yang jatuh cinta berjuang untuk menahan rindu ...
-Oki Setiana Dewi-



catatan memori

bersama kakak welly,
27/2-11/3