Oct 28, 2011

~Warkah Apresiasi~


سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Adikku sayang,
Sesungguhnya Allah telah memlihmu untuk memahami hakikat kehidupan di dunia ini. Telah Allah aturkan perjalanan hidupmu agar dikau dapat sambung belajar di sini, sebelum Allah temukanmu dengan hidayah Allah. Tahun berganti tahun dikau ditarbiyyah..melalui pelbagai pengalaman pahit manis. Tiada yang tahu, pada waktu itu, bahawa Allah sedang menyediakanmu untuk urusan yang besar.

Sehingga tiba waktunya kini, Allah merungkaikan perancangannya serta mewatikahkan dirimu untuk suatu tugasan yang amat mulia lagi diredhai. Yakinlah bahawa dikau merupakan pilihan Allah, dilantik oleh Allah untuk meneruskan perjuangan di bumi Melbourne. Tiada yang mampu kakakmu ini berikan kepada adik melainkan doa yang mengiringi serta beberapa pesanan.

Adik, jagalah hubungan dengan Allah dengan menyempurnakan kewajipan terhadap-Nya. Perkara-perkara fardhu haruslah mantap di dalam diri. Solat lima waktu jangan sekali diabaikan. Taqarrubkan diri kepada-Nya selalu. Ingat, hilang Allah, hilanglah segalanya.

Adik, bangulah qiam di sepertiga malam. Sebolehnya, carilah Allah pada setiap malam kerana di sinilah sumber kekuatan sebenar. Sesungguhnya, bangun malam itu lebih kuat mengisi jiwa dan bacaan pada waktu itu lebih berkesan.

Adik, tadabburlah Al-Quran pada setiap hari. Sungguh, di dalamnya terdapat penawar bagi jiwa-jiwa yang sakit serta jawapan kepada permasalahan-permasalahan harian. Ikhlaskan jua hati serta perhatikan niat pada setiap masa, agar diri tidak hanyut dalam kefuturan.

Adik, jagalah ukhwah sesama teman-teman sebaiknya. Itulah kekuatan untuk dirimu terus bertahan menghadapi cabaran sehari-hari. Jangan sesekali tewas dengan syaitan yang pasti akan berusaha merungkaikan ikatan hati antara kalian. Ingatlah, dikau takkan mampu bergerak seorang. Maka tunaikanlah hak kepada teman-teman seperjuangan, kelak kalian akan terus kukuh bertahan.

Adik, hidupkanlah akhlak-akhlak mulia dalam diri walau dalam apa keadaaan sekali pun. Sesungguhnya akhlak yang dipamerkan yang akan menjadi juru bicara perjuanganmu. Juga, janganlah abaikan tabiat membaca. Bacalah, terutama buku-buku fikrah agar dikau akan lebih memahami tabiat jalan dakwah lantas lebih bersedia menghadapinya.

Adik, ketahuilah bahawa dikau tidak keseorangan. Malah, seluruh dunia dan seiisinya bersama menyokong perjuangan ini. Maka usahlah sedih, usahlah gentar. Kuatkan tekad serta berserahlah kepada Allah pemilik risalah yang kita perjuangkan ini. Juga janganlah segan silu bertanya pada kakak-kakak yang sudah terlebih dahulu melalui jalan ini. Ingat, kami sentiasa bersamamu, walau dari kejauhan.

Berjuanglah adikku, demi kelangsungan risalah yang kita cintai ini, demi kedudukan yan tinggi dan terpuji di akhirat kelak.

Allah bersamamu, adikku. Allah bersamamu. Sehati sejiwa, dulu kini selamanya. Walau apa yang melanda hadapi bersama. Ya Allah Ya Rabbi, teguhkan iman kami. Moga tabah hati tak berbelah bagi. Moga tabah hati tak berbelah bagi!

-Kakakmu-

No comments: