Oct 22, 2011

~Kenangan Juga Harapan~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Terasa ingin sekali menarikan kisah semalam di pentas tulisan ini. Kisah manis.

Kalau sahaja dilakarkan graf, ternyata akan menghasilkan persamaan linear yang berkadar langsung antara pembolehubah kadar homesick dengan pembolehubah waktu peperiksaan. Merumuskan satu hipotesis iaitu kadar homesick akan makin meningkat apabila waktu peperiksaan makin hampir.


Menggali sebening kenangan sedekad lalu dari lubang minda. Banyak compangnya. Namun abaikan. Kerna itu cerita dulu. Kini sudah lain. Tapi masih, compangnya ada.

Biarkan saja kisah pertama ini menari dahulu, tarian-tarian episod seterusnya mungkin saja akan menjejak atau mungkin saja ini tarian kisah pertama juga terakhir. Tidak aku tahu.


Kisah nakal si anak sedekad lalu. Segan untuk dipaparkan. Tapi biar. Untuk disampaikan pada anak cucu kelak. Mudah-mudahan.


KISAH ANAK KECIL

Anak kecil
comel
dan nakal
atau mungkin
tapi
tapi nakal
lebih molek.

anak kecil
baring di sofa
atau atas lembek alas lantai
mata ditutup rapat
pejam kemas
tiba-tiba di awanan
didukung terus ke bilik
begitu juga dari mobil
pura-pura tidur itu
jadi mainan
tiba di katil
bibir mengukir senyum
marah dia kepenatan
sekejap cuma
bahagia si kecil
bawa ke mimpi.
nakal.

anak kecil
bersama si adik
keluar tika senja
bermain girang
nun di belakang rumah
kedek-kedek dia mencari
terus diangkut pabila jumpa
tahan bas di depan
mahu dijual si kecil itu
di bawah jambatan
tempat dibeli dahulu
ugutnya
menangis sedu-sedan
si kecil tidak sedar
padahal yang memerhati
galak ketawa.
nakal.

anak kecil
disuruh solat
akur pada arahan
masuk bilik
kunci pintu
tiba giliran
si abang pula
sama
telah selesai
dipanggil kami
rupanya tadi dirakam
tiba masa ditayang
solat anak kecil pelik
ada adegan jelik
rahsiakan saja
solat si abang
tidak cukup hitungnya
mana pergi lagi dua rukuk
culas
pita itu wujudkah lagi?
mahu tatap kembali.
nakal.

anak kecil
seawal sembilan malam
sudah dikerah tidur
wayang-wayang menarik
baru saja mahu bermula
apakan daya
patuh
salam dua-dua
cium pipi kiri kanan
hidung dahi dagu
lengkap semua
selamat malam
i love you
i miss you
segala bagai
tutup pintu
tutup lampu
diam seketika
lambat-lambat
buat pakatan
turun senyap-senyap
sambung tonton cerita.
nakal.

anak kecil
bersama abang
bersama adik
baring-baring
kaki bersilang
tonton doraemon
juga yek yau kungfu botak
hadap lama-lama
tidak berganjak
keluar dia
dengan objek panjang halus
bertempiaran lari
bilik air cukup seorang satu
duduk diam-diam
mahu keluar
takut
objek panjang halus
menanti di depan pintu
tapi mahu tidak
tetap
tadah tangan
hulur belakang
merah itu rutin
kadang-kadang
buat giliran
sorok objek panjang halus itu.
nakal.

anak kecil
pantang ke pasar malam
merengek minta wang
'ceingget'
cukup untuk beli
tora datang lagi
tangan
mesti digenggam
erat-erat
bilang perlu selalu
cukup atau tidak
bimbang ada yang hilang
kerna itu biasa
baik di pasaraya
mahu dalam lif
turun naik
naik turun
kalut mencari.
nakal.

anak kecil
kini sudah besar
dewasa pasti
matang mungkin belum
doakan kami selalu
doa kamu kami dambakan.

hidup seperti dulu
mustahil.
hidupkan kenangan lalu
mesti.

Yang merindui,
anak kecilmu
22 Okt 2011

4 comments:

Anonymous said...

banyak lagi cerita lama...akan mama sulamkan nanti
untuk tatapan anak2..

nuramiliaz said...

ececee.. berdebarnya! :P

Anonymous said...

nanti bila mama ada blog sendiri..

nuramiliaz said...

fuyooo!! bila2??
cepat..pleasee! :D