Sep 16, 2012

~Sebuah Kontemplasi~

 سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم



Berkontemplasi
Dalam mencari sebuah jawab
Berkisar tuhan, insan, juga kehidupan

Seperti Nabi Allah Ibrahim
Pada nuansa alam yang direnung
Mencari makna tuhan yang hakiki

Pada kerlip bintang kejora
Pada remang cahaya bulan
Pada sinar mega sang suria

Tuju pada cahaya
Terlihat gah pada margasatwa
Indah nian khayalan menyesatkan

Meredup, Memudar
Terbenam, Tenggelam
Hilang, Lenyap

Berlepas diri dari segala
Langit dan bumi, dicari penciptanya
Sebelum berhasil bertuhankan Tuhan.

Betapa!
Ilmu Tuhanku meliputi segala sesuatu.


[Al-An'am: 76-80]


The Questioning Believer,
29 Syawal 1433
 

Sep 15, 2012

~Hambakah Aku?~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Diri
Kadang ditengah keramaian
Tetap rasa berteman sepi

Walau dikala bersendirian
Ada riuh menjenguk di sisi

Sepi dan riuh itu satu

Diri
Walau dikeliling mekar bunga
Wujud sesuatu menggugur layu

Tika bertapak pada gugur dedaunan
Terbit rasa berbunga di hati

Layu dan mekar itu satu

Diri
Pada bimbang menaruh harap
Menanti yakin bertemu hadir

Dalam pasti pada satu aturan
Menjengah ragu menghambat resah

Yakin dan ragu itu satu

Diri
Dicampak pada sempit ruang
Bernafas lapang berjiwa tenang

Dianugerah luas segenap alam
Lahir sesak lohong di kalbu

Tenang dan sesak itu satu

Diri
Pulangkanlah hatimu pada Dia
Kerna hanya Dia selayaknya 
Satu, Dia dan tiada lain.


The Thinking Heart
Pertemuan #4

Sep 9, 2012

~Dambakan Jurutera Dagang~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم


 Alhamdulillah, semingu yang cukup bermakna. Diberi peluang untuk mengutip pengalaman bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat air di Melbourne.


Keluar jam 7.00 am, perjalanan lebih kurang 20 minit menaiki tram dari Macarthur ke Flinder Street, 40 minit train dari Flinders Street Station ke Albian Station laluan Sydenham dan 20 minit berjalan kaki dari Albian Station dan tiba di City West Water (CWW) Company lebih kurang jam 8.30 am. Pulang jam lima petang, tiba di rumah jam 6.30 pm. Untungnya di sini, pengangkutan awam sangat efektif. Kerap dan tepat masa. Mencari nilai ini di ‘sana’, masih belum ketemu. 

 Dan ada sesuatu, yang membuat diri jatuh suka pada perjalanan lebih kurang satu jam setengah ini. Kembara, dan sendiri. Mungkin itu.


Ketibaan  setiap pagi disambut dengan aroma kopi, senyuman dan sapaan pekerja-pekerja CWW. Mereka sangat ramah.  Tidak lokek untuk membantu dan tunjuk ajar. Walau diri tidak banyak membantu, tapi kata-kata penghargaan dan pujian sentiasa diberikan. Menjadi semangat dan pendorong untuk membuat lebih baik. Di ‘sana’ masih kurang amalan ini.

Waktu rehat, hampir 90% membawa makanan sendiri. Tidak kira dia pengurus, dia jurutera, dia akauntan, dia saintis, siapa sahaja dia, masing-masing dengan bekal masing-masing. Tidak kira buah-buahan, mahu sayur-sayuran, atau apa jua masakan, untuk dijadikan hidangan santapan tengahari mereka. Sesuatu yang jarang-jarang diamalkan di ‘sana’. 

Jam berapa mahu tiba dan pulang tidak kisah, yang penting cukupkan sekurang-kurangnya lapan jam tempoh bekerja. Tiada sistem time clock atau punch clock sepertimana yang diguna rata-rata pekerja di 'sana'. Nilai kejujuran dan kepercayaan yang tinggi antara boss dan staff.



Di 'sana' dan di 'sini'. Bezanya tidaklah sedikit.


Dan di sini, aku belajar, menjadi asing itu bukanlah mudah.


Laporan ringkas,
Jurutera seminggu.

Aug 31, 2012

~That's How We Celebrated Merdeka~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

 



Oh, sungguh tidak matang. -_-"


Kalau kita hari ini,
hanya sekadar hafal dan ulang kata satu itu

Usah hairan andai esok,
anak cucu kita janggal dengan aksara MERDEKA
gagal atur satu persatu mengikut tertibnya.



******************
Mereka mungkin sudah merdeka
tapi aku?

Mencari ruang
 untuk memerdekakan aku
dan kamu.

Selamat Memerdekakan Diri!
**********************
Hujan emas di negeri orang,
Hujan batu juga di negeri orang.
Bagaimana?
 
 
Tersurat juga tersirat
State Library of Victoria
31 Ogos 2012.

Aug 30, 2012

~Bersama Bongo~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Rasulullah bersabda,
“Ajarilah anak-anak kalian berkuda, berenang dan memanah”
(Riwayat Sahih Bukhari/Muslim)
Jam 9.00 a.m., memulakan perjalanan. Lebih kurang sejam, singgah di Victoria State Rose Garden. Hajat di hati mahu melihat jambangan mawar mekar berwarna-warni di taman tidak kesampaian. Bunga-bunga masih malu-malu. Hanya batang-batang dan duri kelihatan. Kata mereka di sana, bulan Oktober baru kuntuman kembang mekar. Makan-makan sekejap sambil bergambar sikit-sikit dengan pokok-tanpa-bunga dan binaan yang ada. 

Meneruskan perjalanan.Tiba di Blazing Saddles, Aireys Inlet, selepas lebih kurang dua jam. Pilih-pilih boot dan helmet, ‘main’ kejar-kejar dengan anjing pemilik kedai dan mendengar sedikit taklimat sebelum masing-masing diberikan kuda tunggangan masing-masing. 

 
Bongo, kuda yang terpilih untuk Nur Zainudin. Kebetulan,  memang kuda itu yang di aim pada awalnya. Sudah diusap-usap sambil dibisikkan syahadah dan selawat di telinga Bongo. :)


Bongo, Mini, Milo, Bob, Sully, Bingo, antara beberapa nama kuda yang ditunggangi kami. Kuda-kuda ini sangat baik. Patuh. Disuruh ke kanan dia ke kanan, disuruh ke kiri dia ke kiri, disuruh jalan dia jalan, disuruh laju dia laju, disuruh berhenti dia berhenti. Cuma perlu kena cara arahannya.  Hebat.


Ini bukanlah kali pertama berkuda, tapi sebelum ini pusing-pusing perlahan tidak sampai lima minit. Kali ini, tempoh lebih kurang 45 minit.  Jalan yang dilalui juga agak mencabar, bukan sekadar di dalam litar di atas padang.


Sambil-sambil berkuda, sambil-sambil berangan. Berangan menunggang kuda yang disebut Allah. 

“Demi kuda perang yang berlari kencang dengan terengah-engah.Dan kuda yang mencetuskan api dengan pukulan (kuku kakinya).Dan kuda yang menyerang dengan tiba-tiba di waktu pagi.Maka ia menerbangkan debu. Dan menyerbu ke tengah-tengah kumpulan musuh”
[Al-‘Aadiyat : 1 – 5]

Angkatan perang berkuda. Pasti tersangat hebat!






Pa, nak bela kuda, boleh? 
Heh, berangan!
29 Ogos 2012.