Jul 25, 2010

~ Dunia ~

Subhanallah
Alhamdulillah
Allahu Akbar


berkata seorang penyair...

Itu dia dunia
berbicara sepenuh mulutnya :
"Awasi, awasi
kezaliman dan kekejamanku
Jangan terpedaya dengan senyumku,
madahku sungguh menggembirakan
Tapi
Perbuatanku
membuatmu menangis

penyair lain pula berkata ...

Duhai orang yang berbicara dengan dunia yang hina
kelodak dari segala kebusukan
Hari ini dia membuatmu ketawa
Tapi
besok dia membuat menangis
Dunia
Kaulah tempat paling celaka

penyair lain pula menyebutkan ...

Kalau bistari menguji dunia
Ternyata baginya
dunia hanya seorang musuh berbaju taulan
bagi mereka
pahit dan manis sama sahaja
kerana
kendati keduanya kekal
ia tetap akan hilang



"Masuklah ke dalam dunia, tetapi jangan engkau menyibukkan diri di dalamnya."

"Tidak ada seorang pun di dunia ini kecuali dia berada dalam keadaan lemah, hartanya adalah pinjaman, tetamu akan pergi, dan barang pinjamannya akan
dikembalikan." ~Ibnu Mas'ud

p/s = b'hati-hatilah dengan dunia yang penuh dengan kepalsuan dan tipu daya

Jun 1, 2010

~Just Wait and See??!~



Alhamdulillah.
Tadi sempat sekejap bersama dalam rally mengecam tindakan Israel di hadapan State Library berhampiran bangunan RMIT.

Subhanallah.
Kalau yang bukan Islam juga telah lama bertindak, amat ketinggalanlah kita kalau sekadar jadi pemerhati.

Ayuh. Bantu apa yang termampu.


~Khaybar Khaybar Ya Yahud, Jaisyu Muhammad Saufa Ya'uud~

~malu pada diri~

May 24, 2010

~Syihab~


Subhanallah
Alhamdulillah
Allahu Akbar


Alhamdulillah. Pejam celik pejam celik, sudah lebih kurang 3 bulan bergelar perantau di bumi Melbourne. Tinggal satu bulan sahaja lagi untuk menamatkan sesi pelajaran semester satu tahun satu. Masa berlalu begitu pantas.

Dan sepanjang tempoh 3 bulan ini juga saya telah berkenalan dengan Syihab. Syihab menjadi teman setia saya dalam perjalanan pergi dan pulang dari universiti. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 40 minit setiap hari. Tidak kira awal pagi atau lewat malam, sejuk menggigit tulang mahupun panas membakar kulit, Syihab tidak pernah mengecewakan saya jika diajak teman ke mana-mana. Syihab sentiasa ingatkan saya tentang zikir dan fikir. Memerhati kesibukan kota dan menghayati keindahan alam bersama Syihab sudah menjad satu rutin. Seronok bersama Syihab.

Tapi sekarang, aktiviti bersama Syihab terpaksa dikurangkan. Tidak mendapat restu ibu bapa. Bimbang kata mereka. Tapi saya rasa selamat bersama Syihab. Namun apakan daya, kalau itu kata mereka pasti banyak betulnya. Untuk kebaikan saya juga semestinya.

Petang ini mahu ajak Syihab teman ke Kuliah Tafsir di Pelham Musolla. Tidak berapa jauh jaraknya dari rumah. Jadi, rasanya tak mengapa.

Mahu kenal dengan Syihab? Kalau rajin saya akan uploadkan gambarnya. :)


Syihab itu basikal tunggangan saya. =)


~syukurilah nikmat-nikmat yang sering tidak disyukuri~

May 16, 2010

~Ringkas~

Subhanallah
Alhamdulillah
Allahu Akbar


Sedang asyik berdiri di pepasir
Tenung pada kebiruan terbentang
Terjelma bayangan sosok insan dari seberang
Pasti tanda rindu mengetuk atma ...




~Sekadar ingin gugurkan khabar
di musim luruh buat tanah air~


homesick mungkin :)

Apr 10, 2010

~Berakhir Sudah Easter Break~

Subhanallah
Alhamdulillah
Allahu Akbar

langit senja dari jendela kamar saya. cantikkan? :)


Bermula Khamis lalu, RMIT University mula bercuti.

Cuti telah berakhir. Alhamdulillah, pengisian cuti agak menarik. Bermula dengan AUTUMN GATHERING bertemakan Islam In My Heart disusuli dengan jaulah ke Great Ocean Road menikmati alam indah ciptaan-Nya dan berakhir dengan MEL-BOND, bersukan bersama akhawat dengan tema play as a muslim.

Oh ya, cuti seminggu ini sempena Good Friday dan Easter Day.

Apa itu Easter? Apa itu Good Friday?
Soalan diajukan kepada beberapa kenalan yang beragama Kristian. Jawapan diterima tidak memuaskan. Kebanyakan mereka juga tidak banyak pengetahuan tentang itu. Yang mereka tahu, mereka akan bercuti sempena Easter. Pelik.

Tapi, bila difikirkan kembali, saya juga mungkin seperti mereka apabila diajukan soalan apa itu Isra' Mikraj? Bagaimana mahu diceritakan kepada mereka tentang peristiwa nabi Muhammad S.A.W naik ke langit. Mampukah saya fahamkan mereka? Alangkah beruntungnya jika berpeluang membuatkan mereka percaya, faham seterusnya yakin dengan kisah-kisah indah lagi menarik dalam Islam. Manatahu menjadi asbab mereka menerima hidayah Allah dengan cerita itu. Oh, sungguh tinggi cita-cita itu. Mampukah?

Teringat pula kisah di awal perkenalan dengan seorang classmate lelaki di sini. Menjadi budaya mereka bersalam ketika bertemu lebih-lebih lagi kali pertama berkenalan.

Mulanya ragu-ragu. Mahu ditolak, bimbang dikata biadab. Mahu disambut, bimbang akan menyusul salam-salam yang lain. Aduh, panas!
Keputusan dibuat. Salam yang dihulur tidak bersambut.

"Sorry, I can't" Bilangku.

Alhamdulillah, dia mengangguk, seolah-olah faham. Lega.

Tiba-tiba, terdengar satu suara, dari rakan yang lain yang berdiri di sebelah saya.

"Is't your religious so hard?"

Ops!!! Lama terdiam. Itukah pandangan mereka tentang Islam? Adakah saya membawa fitnah pada Islam agama yang mudah?
Lama terdiam. Menyusun bicara agar tiada salah faham berlaku. Sedikit penjelasan diberikan. Tapi banyak pula soalan-soalan lain yang menyusul. Sukar. Kerna ilmu yang sedikit barangkali. Hina. Kerdil. Perlu lebih bersedia dengan jawapan-jawapan yang bernas.

Ya Allah, Ya Ghafar. Ampun ...

harap langkah tari
tiada sumbang
seiring irama ...

Apr 4, 2010

~Langkah Pertama~

Subhanallah
Alhamdulillah
Allahu Akbar

Malam itu tidurnya sekadar lelapkan mata. Fikiran masih melayang memikirkan hari esok yang bakal tiba.
Kalau diikutkan, memang itulah cita yang dipasak sejak kecil lagi. Tidak perlu fikir panjang, mesti itulah jawapan yang pasti.

Namun berita kegagalan yang diterima sebulan lepas menggoyahkan pendiriannya setelah dicampakkan ke sebuah institusi yang juga pernah menjadi idamannya suatu ketika dahulu. Dia pernah menghadiri temuduga untuk kemasukan di institusi itu selepas keputusan peperiksaan SPM diumumkan tetapi cubaannya tidak membuahkan hasil dan tidak disangka-sangka dia berdiri di tempat yang sama untuk tujuan yang sama buat kali kedua. Alhamdulillah, kali ini dia berjaya.

Walau baru hanya seminggu di sana, dia dapat rasakan kewujudan mutiara-mutiara berharga disekitarnya tika itu. Mutiara yang gagal ditemui di kolej persediaannya sebelum ini. Kali ini, dia berjanji pada dirinya untuk mendapatkan seboleh mungkin kesemua mutiara yang pernah dia terlepas dahulu. Ya, itu misi yang wajib! Fikirnya, itulah hikmah disebalik kegagalannya sebulan lalu. Hikmah yang mengundang airmata keinsafan buatnya.

Panggilan telefon petang itu benar-benar membuatkan otaknya penat. Aturan Allah tiada siapa yang tahu. Penaja telah memberi peluang kedua kepada mereka yang tidak berjaya. Jika dulu, tawaran itu merupakan harapan, kini ia telah berubah menjadi pilihan. Pilihan antara cita dan cinta. Cita untuk mengutip ilmu di negara orang dan cinta pada bi'ah di tempat baru yang mula berputik. Fikirannya berserabut, berkecamuk. Terus, petunjuk Allah diminta.

Setelah menghitung pendapat ahli keluarga dan sahabat-sahabat, dia membulatkan tekad dan menyerahkan segalanya pada Allah. Keputusannya muktamad.

Tiket penerbangan telah diserahkan penaja kepadanya dan itu bermakna tinggal beberapa minit lagi untuk bersama keluarga tersayang dan beberapa sahabat yang sudi meluangkan masa sebelum berpisah jasad beribu batu. Bermacam pesan dari ibu bapanya. Bimbangkan si anak gadis merantau seorang di tempat asing.

Berbekalkan semangat hijrah yang ditiupkan Rasulullah buat umatnya, dia melangkah meninggalkan mereka yang melambai. Tiada esak tangis lahiriahnya. Ya, hijrah itu pengorbanan! Perlu kuat, perlu cekal, perlu tabah.

Sepanjang tempoh penerbangan selama lapan jam, dia tidak dapat melelapkan mata walau sesaat. Orang di kiri kanannya telah lama dibuai mimpi. Mesej-mesej di dalam peti masuk telefon bimbitnya dibelek-belek. Banyak kata-kata nasihat, motivasi dan hikmah yang dapat dikutip dari sahabat-sahabat yang menghantarnya. Setelah seketika, dia mematikan kembali telefon bimbitnya.
Pantang ada peluang, gumpalan fikirannya akan berarak keluar dari kepompong. Pelbagai persoalan laju menerjah. Namun hanya doa yang bisa menjadi jawapan.

Alhamdulillah. Lafaz itu yang pertama terpacul selangkah keluar dari kapal terbang MH 149. Niat dibetulkan. Azam baru disematkan. Walau datang sebagai gagak, berusaha pulang sebagai helang. Dia mengharapkan di sebalik cita yang dikejar, cinta yang ditinggalkan di sana akan ditemui kembali di sini. Insya Allah ...

....................

macarthur road
parkville.

04042010
1.04 pm