Apr 4, 2010

~Langkah Pertama~

Subhanallah
Alhamdulillah
Allahu Akbar

Malam itu tidurnya sekadar lelapkan mata. Fikiran masih melayang memikirkan hari esok yang bakal tiba.
Kalau diikutkan, memang itulah cita yang dipasak sejak kecil lagi. Tidak perlu fikir panjang, mesti itulah jawapan yang pasti.

Namun berita kegagalan yang diterima sebulan lepas menggoyahkan pendiriannya setelah dicampakkan ke sebuah institusi yang juga pernah menjadi idamannya suatu ketika dahulu. Dia pernah menghadiri temuduga untuk kemasukan di institusi itu selepas keputusan peperiksaan SPM diumumkan tetapi cubaannya tidak membuahkan hasil dan tidak disangka-sangka dia berdiri di tempat yang sama untuk tujuan yang sama buat kali kedua. Alhamdulillah, kali ini dia berjaya.

Walau baru hanya seminggu di sana, dia dapat rasakan kewujudan mutiara-mutiara berharga disekitarnya tika itu. Mutiara yang gagal ditemui di kolej persediaannya sebelum ini. Kali ini, dia berjanji pada dirinya untuk mendapatkan seboleh mungkin kesemua mutiara yang pernah dia terlepas dahulu. Ya, itu misi yang wajib! Fikirnya, itulah hikmah disebalik kegagalannya sebulan lalu. Hikmah yang mengundang airmata keinsafan buatnya.

Panggilan telefon petang itu benar-benar membuatkan otaknya penat. Aturan Allah tiada siapa yang tahu. Penaja telah memberi peluang kedua kepada mereka yang tidak berjaya. Jika dulu, tawaran itu merupakan harapan, kini ia telah berubah menjadi pilihan. Pilihan antara cita dan cinta. Cita untuk mengutip ilmu di negara orang dan cinta pada bi'ah di tempat baru yang mula berputik. Fikirannya berserabut, berkecamuk. Terus, petunjuk Allah diminta.

Setelah menghitung pendapat ahli keluarga dan sahabat-sahabat, dia membulatkan tekad dan menyerahkan segalanya pada Allah. Keputusannya muktamad.

Tiket penerbangan telah diserahkan penaja kepadanya dan itu bermakna tinggal beberapa minit lagi untuk bersama keluarga tersayang dan beberapa sahabat yang sudi meluangkan masa sebelum berpisah jasad beribu batu. Bermacam pesan dari ibu bapanya. Bimbangkan si anak gadis merantau seorang di tempat asing.

Berbekalkan semangat hijrah yang ditiupkan Rasulullah buat umatnya, dia melangkah meninggalkan mereka yang melambai. Tiada esak tangis lahiriahnya. Ya, hijrah itu pengorbanan! Perlu kuat, perlu cekal, perlu tabah.

Sepanjang tempoh penerbangan selama lapan jam, dia tidak dapat melelapkan mata walau sesaat. Orang di kiri kanannya telah lama dibuai mimpi. Mesej-mesej di dalam peti masuk telefon bimbitnya dibelek-belek. Banyak kata-kata nasihat, motivasi dan hikmah yang dapat dikutip dari sahabat-sahabat yang menghantarnya. Setelah seketika, dia mematikan kembali telefon bimbitnya.
Pantang ada peluang, gumpalan fikirannya akan berarak keluar dari kepompong. Pelbagai persoalan laju menerjah. Namun hanya doa yang bisa menjadi jawapan.

Alhamdulillah. Lafaz itu yang pertama terpacul selangkah keluar dari kapal terbang MH 149. Niat dibetulkan. Azam baru disematkan. Walau datang sebagai gagak, berusaha pulang sebagai helang. Dia mengharapkan di sebalik cita yang dikejar, cinta yang ditinggalkan di sana akan ditemui kembali di sini. Insya Allah ...

....................

macarthur road
parkville.

04042010
1.04 pm

3 comments:

mahir said...

salam amy...

sedih la plak baca post ni..iAllah,, itu yg terbaik. DIA Maha Mengetahui.
byk bnda yg mahir dah lalui n tgh lalui kt bndung ni..nnt nak share ngan amy :) t8 care

serikandi harapan said...

Slm.amy..nadh percaya Allah sudah ada rncangan terbaik utk amy. Percaya pada Dia. Biah itu akan amy jmpa kat sane, Nadh yakin sgt. Amy perlu usaha sikit. Nadh rasa usrah2 kat sana aktif kan. Amy join la. :)

nuramiliaz said...

maher: sedih ke?? phayatan yg mdalam nie.. :)
btol3..DIA maha mengetahui apa yg tbaik utk dia.
x saba nk dgar cite maher..nnt kte skype yee..

nadh: yup.amy pown yakin.there must be a very good reason y i m here now.
iAllah,akn smbung kisah pgembaraan dalam pcarian dlm episod sterusnya..thanx dear ;)