May 22, 2012

~Jangan Pernah Berhenti~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم


Lenyapkan diri
dari dunia itu
sedetik lebih


Kerna aku
sering tidak kuat
melawan rasa yang satu




gadis tewas,
01 Rejab

May 17, 2012

~Lupakan Saja~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

  
Banyak rasa
yang tidak bisa dirungkai
hanya dengan untaian kata


Dan aku
sedang belajar untuk bertutur
dengan bahasa rasa


Suara sepi
menyanyikan lagu rindu
moga merdu iramanya


******


Mungkin saja diriku dilupakan
asal aku tidak melupakan.

Mungkin saja aku dilupakan dia
asal aku tidak dilupakan Dia

Mungkin saja aku melupakan dia
asal aku tidak melupakan Dia






facebook deactivated,
Lab 10.12.27


May 16, 2012

~Kasih Seorang Papa~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم
  
Sepulangnya dari kelas, singgah melepaskan penat 'bersilat' di minggu-minggu akhir penghujung semester di park berdekatan Pelham.

Sambil duduk-duduk di atas buaian yang disediakan di taman permainan mini, mata dipejam rapat-rapat menikmati angin di musim dingin. Seketika, hilang segala buncah di pundak. Buaian perlahan-lahan terhayun. Terasa ada tangan yang menolak. Kubiarkan rasa itu. Terus dan terus. Tangan itu menghayun. Makin lama makin laju. Bibir meguntum senyum panjang. 

Mata masih dipejam. Tangan itu masih setia menghayun. Hadir suara riang gelak ketawa entah dari mana. Memecah sunyi. Minda ligat berputar. Berusaha menyelaraskan detik ini dengan memori lampau. 



... dan datang seorang ayah, menghayun buaian anaknya di sebelahku ...


****************


Oh. Sungguh aku rindukan dia. 


Dia, 
sewaktu aku masih di bangku sekolah 
bantu aku siapkan lukisan seni
potong kuku aku setiap hari Jumaat
pujuk aku yang suka merajuk
ejek aku tika aku serius membebel
pukul aku yang nakal dengan rotan panjang
bawa ke pasar malam tiap Rabu
selalu dimarah bila minta izin mandi hujan
bonceng aku ke sekolah, kelas malam
pura-pura tinggalkan aku bila lambat bersiap
hadiahkan aku jam 'sebab-jadi-anak-baik'
cuci kereta main air bersama yang lain
hantar pencil box yang tertinggal waktu exam
berikan aku hadiah setiap kali cemerlang periksa akhir tahun


Oh, sungguh masa bergerak pantas
sedekad lalu, yang sentiasa dalam ingatan

 
Dan dia, 
saat aku meningkat dewasa
masih pimpin tangan aku ketika lintas jalan
masih jadi driver ke mana saja mahu aku pergi
masih layan kerenah aku yang macam-macam
masih pusing-pusing pasar cari manggis walau bukan musimnya
masih romantik luahkan sayang pada aku
masih pujuk dengan hikmah tika kadang-kadang aku termerajuk
masih usaha kuat tunaikan apa yang aku idam
masih pesan aku itu ini macam-macam
masih ingat aku anak kecil. :)


dan ENGKAU akan sentiasa
PAPA yang aku sayang
dulu, kini dan selamanya.



Papa Mama,
nak balik! :P

May 14, 2012

~Tentang Cinta Mama~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم


Wahnan a'la wahnin
Engkau kandungkan aku
Mungkin hidup mungkin mati

Wahnan a'la wahnin
Engkau keluarkan aku dari rahimmu
Bawa aku tuju pada Rahim-Nya

Wahnan a'la wahnin
Setiap titik susu dari darahmu
Walau itu tidakkan mampu kubalas

Wahnan a'la wahnin
Engkau dodoikan aku kala bayi mungil 
Engkau kendong aku tidak terlepas

Wahnan a'la wahnin
Dari buaian aku dihayun
Hingga dewasa aku terbuai

Wahnan a'la wahnin
Dibelai aku dipimpin aku sekian lama
Tapi kini jauh aku dari pangkuanmu

Wahnan a'la wahnin
Engkau bibik engkau juga supir
Semata untuk bangunkan ruang jaya diriku

Wahnan a'la wahnin
Keringat peluh dan luah keluh 
Kupohon yang terbaik limpah dari-Nya

Wahnan a'la wahnin
Setiap jenuh dan sendu
Maafkan aku atas segalanya

Wahnan a'la wahnin
Sepi menyapa atau tawa menerpa
Tabah engkau melayan kerenah pelbagai

Wahnan a'la wahnin
Mohon tiada engkau terguris
Andai lidah tak bertulangku bawa duka

Wahnan a'la wahnin
Perangai, akhlak, juga budiku
Moga bawa bahagia tidak derita 

Wahnan a'la wahnin
Harapnya bila aku disebut anakmu
Engkau bangga bukan kecewa

Wahnan a'la wahnin
Dari engkau aku belajar kenal cinta
Kerana engkau juga aku kenal Cinta

Wahnan a'la wahnin 
Redhamu kudamba untuk raih redha Ilahi
Cercamu semahu mungkin kumohon jauh

Wahnan a'la wahnin
Aku anak pernah derhaka
Izinkan mendatang hanya solehah

Wahnan a'la wahnin
Saat aku menyedari aku kian dewasa
Aku juga tersedar engkau tidak lagi muda

Wahnan a'la wahnin
Detik aku mengerti betapa sukar beban hadir seiring panggilan 'Mama'
Syurga aku telah beralih pada 'si dia'

Wahnan a'la wahnin
Semoga cintamu turut diminati pendampingku
Supaya aku bisa menjagamu semampuku

Wahnan a'la wahnin
Ingin aku jadi sepertimu
.MAMA.




“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang
 ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah- tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaku dan kepada dua orang ibu bapamu, 
hanya kepada-Akulah kembalimu.”
(Luqman :14)









Ya Allah...
hadirkanlah Mama (dan Papa) dalam mimpiku, 
agar bisa aku cium telapak kakinya...




puisi buat Mama (dan Papa),
yang kutinggalkan dia 
nun di desa sana.

May 8, 2012

~Mencari Diri~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

IMAN
~melahirkan cara pandang terindah pada segenap sesuatu~






Mohon dipinjamkan kaca mata iman.
Supaya boleh melangkah dengan 'macho'
Di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat sana.



gadis kaca mata,
Comp Lab Building  8

May 5, 2012

~Daerah Pilihan~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم



Terlalu banyak compangnya. Jelas.

Setiap kali bersama mereka, kekerdilan diri sangat terasa. Jauh kebelakang aku tercampak. Dalam segala hal, akulah tercorot.

Mahu saja menyorok dalam quilt tidak keluar-keluar. Menyorok lama-lama. Sampai selesai mereka berkata-kata. Setiap kata menusuk tajam dalam kalbu. Mahu saja air mata jatuh ke pipi. Bertahan. Bertahan. Bertahan. Entah mengapa sejak kebelakangan ini, sangat sensitif. Tidak pernah-pernah begini. Tanda meningkat dewasa mungkin.

Bukan tidak mahu tapi aku sedang membina mampu. Ingin sekali aku berubah. Tidak mahu seperti dulu lagi. Tolong, bantu aku. Mahu tinggalkan daerah jahiliyah itu jauh-jauh. Tinggal yang sampai tidak mahu jumpa kembali. Jangan seperti sebelum ini. Bukan tidak pernah merantau tinggalkan daerah itu tapi sekejap cuma permusafiran aku. Tidak cukup faham barangkali. Ikut-ikutan semata mungkin.


Lantas kembara menuju daerah pilihan tidak bertahan lama. Daerah pilihan tidak sudi menerima aku. Atau aku yang tidak selesa di sana. Kerana aku belum benar-benar mengerti. Mengerti dengan hati.

Tapi kali ini, aku nekad! Mahu musafir ke sana lagi. Kali ini untuk tinggal tetap di sana. Di daerah pilihan itu. Bersama mereka yang hebat. Moga kali ini aku diterima seikhlasnya. Walau aku tahu aku tidak layak. T_T




Terima aku, Ya Allah, tolong!






~Andai aku lupa, moga ini boleh ingatkan~
 
 
Rehatkan Malaikat sebelah kiri
Penatkan Malaikat sebelah kanan
 
Kerana mereka yang lain sedang bermujahadah 
Mengapa tidak kamu?

Ayuh!



Daerah pilihan aku dan kamu,
Daerah Pahala.