Nov 7, 2010

~Empat~


Subhanallahi wabihamdih
Subhanallahil a'dzim


Sudah empat musim berlalu. Alhamdulillah
Lagi empat hari sebelum pulang ke tanah air. Insya-Allah

Walau jasad di sini, minda sudah di sana.


Oh..Exam masih berbaki satu paper.


Sila fokus cik kak!!!


*Si budak KECIK bagitau semalam dia simpankan mercun bunga api. Nak main sama-sama katanya. Tak sabarnya nak cubit-cubit pipi budak KECIK yang makin besar.*

Oct 22, 2010

~Harus Tabah Ketika Rebah~


Subhanallahi wabihamdih
Subhanallahil a'dzim



Dia melontar pandangan keluar dari jendela Baillieu Library setelah penat menunduk mentelaah. Memandang beberapa kelompok pelajar melepaskan lelah di bawah sinaran terik mentari di dataran padang menghijau merupakan satu kebiasaan tika musim ini. Pelik, namun mungkin mereka sedang menghargai nikmat mentari setelah berbulan-bulan di balut dingin.

Entah mengapa, pandangan itu membawa dia menerjah memori-memori silam di Bumi Waqafan. Memori yang menjadi episod bahagia dalam filem pendek kisah hidupnya.

Bumi Waqafan. Walau dia bukanlah siapa-siapa, hanya memegang watak yang sangat tidak signifikan, tidak dikenali nama mahu susuk tubuh, tidak seperti mereka yang lain, tapi dia suka begitu, di sana. Bahagia.

Bumi Waqafan. Musolla Saidatina Khadijah menyaksikan dia bertatih-tatih kecil mengenal Sang Pencipta. F32 menyaksikan hikayat ukhwah dia dan mereka yang penuh suka mahu duka. Kelas Al-Biruni menyaksikan kisah mujahadahnya dalam meneguk setitis ilmu. Dia seolah punya kehidupan lain, dunia baru di sana. Indah.

Bumi Waqafan. Keindahan, kebahagian itu hanya sempat dirasai 2 tahun. Tempoh singkat yang seboleh mungkin ingin dibekukan kaku. Biar dia terus berada di dalam detik itu.

Bumi Waqafan. Kini telah 3 tahun berlalu. 3 tahun yang menuntut kekuatan yang bukan sedikit. Kekuatan untuk terus kekal seperti dahulu. Kekuatan untuk terus pasak pada kalimah 'Fastaqim Kama Umirt' yang menjadi buah zikir warga Waqafan tika zamannya. Kekuatan yang seringkali dia gagal kecapi.

Bumi Waqafan. Dia akui, acapkali dia rebah tersungkur dalam perjalanannya. Acapkali tali prinsip yang pernah dia pegang dulu kian longgar, acapkali juga tali itu terlepas tanpa dia sendiri sedari. Dia tahu akan hakikat untuk thabat itu tidaklah mudah, untuk sering futur itu tidaklah sukar.

Ehhmmm...dia melepaskan keluhan panjang, dengan harapan mampu melepaskan resah di jiwa. Resah dek kerana diri yang semakin degil.


Justeru,
dia sentiasa berharap akan ada tangan-tangan
dihulurkan untuk dia terus bangkit tika jatuh terduduk.
dia sentiasa berharap akan ada tangan-tangan
dihulurkan untuk bawa dia berlari bersama mengejar jannah.

dan tangan-tangan yang diharapkan itu
adalah tangan-tangan kalian.


Dia,
si degil yang pernah berteduh
di bawah teduhan usang Waqafan
22 Oktober 2010
Baillieu Library

Oct 16, 2010

~Kasih-sayang Itu Hadir Seiring Tanggungjawab~


Subhanalllahi wabihamdih
Subhannallahil a'dzim

Alhamdulillah. Masih diberi kesempatan merasai nikmat hidup.

Terlalu banyak isi-isi dalam kehidupan. Dan saya acapkali lupa mensyukurinya!

Kematangan itu bukan pada usia tapi amal dari ilmu di dada yang menentukannya. Dan saya masih sangat-sangat tidak matang!

Bagaimana anda menilai seseorang itu mencerminkan diri anda yang sebenar. Dan saya sering silap menilai orang mencerminkan diri saya yang sentiasa membuat kesilapan!

Mereka sentiasa menjadi lebih bagus. Dan saya masih di sini dan begini!

Kata mereka kasih-sayang itu mesti dibuktikan dengan tanggungjawab. Dan saya bilang sayang tapi tidak pula bertanggungjawab!

Jalan yang sukar itu tidak ramai yang pilih. Dan saya selalu memilih untuk mengambil jalan mudah walhal jalan mudah sekarang akan menyusahkan kelak!

1 maksiat 40 tahun yang lampau masih mampu mereka ingat. Dan saya sudah lupa dosa-dosa sebentar tadi!

Buat yang wajib dan tinggal yang haram itu untuk orang awam. Dan saya tidak mahu sekadar jadi orang awam tapi yang wajib masih terasa berat nak buat, yang haram susah nak tinggalkan!

Orang yang terlalu mengikut emosi itu tidak bijak. Dan saya selalu terikut emosi bermakna saya tidak bijak!

... dan saya perlu berubah!!!


Usrah tadi memang buat diri terpukul. Hamdalah!

16 Oct 2010
budak yang sedang homesick
rindukan mereka di tanah air
=)

Sep 16, 2010

~Setelah Gugur~

Subhanallahi wabihamdih
Subhanallahil 'adzim


prakkk..prakkk..prakk..
bunyi derapan kaki
bertemu daun kering yang gugur.

daun-daun itu
walau mahu terus setia
tetap akur pada perintah
gugur ke tanah jua.

namun manfaat terus diberikan.

kalau pada yang gugur itu indah
indah lagi pada yang berputik.


si bunga sudah mula menyapa!!! :)


~tiada menjenguk bulan malam ini,
masih berselimut di balik awankah?
keluarlah, temani aku disini~


7 Syawal 1431,
menanti sang bulan
dari jendela kamar.

Sep 10, 2010

~Jauh~


Subhanallahi wabihamdih
Subhanallahil 'adzim


1 Syawal.
:)

Raya jauh diperantauan.
Apa perasaan?

Seronok.
Gembira.
Ya, dusta.
maaf.

Sebak.
Syahdu.
Ya, betul.
Tepat.
*tapi masih bertahan tanpa tangisan.*

A'la kulli hal.
Alhamdulillah
Alhamdulillah
Alhamdulillah

................................................................

Ramadhan, baru sehari pergi tapi rindu telah bertamu. Moga Ramadhan yang keluar dari pintu itu membawa berita baik dari kita. Moga Ramadhan yang keluar dari pintu itu tidak ambil kembali hadiah yang dibawa tika hadirnya. Allahumma balighna Ramadhan.

Ramadhan Kareem telah berlalu akan tetapi Allahu Akram sentiasa Ada. :)

Tadi, usai solat Sunat Aidilfitri, agenda diteruskan dengan sesi fotografi. Kemudian, terus ke library RMIT University. Menanti waktu kelas bermula.

Rancangan asalnya ingin solat di Flemington Park tetapi memandangkan cuaca tidak mengizinkan, kami beralih ke plan B, RMIT Prayer Rooms.

Takbir raya tadi berbeza dari semalam. Semalam bertakbir di Pelham Musolla. Takbir Melayu. Takbir Malaysia. Sayu-sayu bunyinya. Semalam juga ada majlis khatam Quran. Makan pulut kuning. :)

Raya di sini, menarik. Menarik sebab jauh dari adat.

.........................................................................

Jika di sana
malam raya
pasti sibuk dengan persiapan terakhir

Di sini pula
kami sibuk dengan assigment

Jika di sana
Solat raya bersama keluarga

Di sini pula
Solat raya tanpa mereka

Jika di sana
Selepas solat
Ziarah kaum kerabat

Di sini pula
Selepas solat
Bergegas ke Uni

Jika di sana
Juadah raya
Sangat mewah

Di sini pula
Kami berkongsi yang sedikit

Walau banyak beza di sana dan di sini
Tetap bersyukur dengan apa yang ada
Bersyukur juga dengan apa yang tiada.

Mahu raya yang sebenar-benar raya.
Raya yang hakiki.
Raya dengan kemenangan umat.
Tapi diri sendiri dah menang ke?
?_?



TaqabAllahuminnawaminkum
SALAM AIDILFITRI
MAAF ZAHIR & BATIN
Si perantau yang tabah,
Usai lecture design
1 Syawal 1431

Sep 2, 2010

~Kembara Solo~


Subhanallahi wabihamdih
Subhanallahil 'adzim


Sebelum melangkah keluar, sekali lagi beg sandang hitam itu dicheck. Mahu pastikan semua ada. Tiada yang tertinggal.

Tram no.19 menuju ke city selepas jam 7.00 pm akan tiba selang 10 minit. Selang masa itu, Al-Quran hitam dikeluarkan dari beg. Insya-Allah target Ramadhan kali ini akan berjaya dicapai.

Perjalanan lebih kurang 20 minit sebelum tiba di Bourke St. Menanti tram no.86 menuju ke Docklands, mata melilau tanpa arah. Bila tanpa arah, parah jawabnya. Ada adegan yang tidak patut disajikan mata. Adegan yang memang murah disini. Bila-bila masa. Di mana-mana.

Ok. Tram no.86 tiba. Perjalanan lebih kurang 25 minit. Malas mendengar perbualan sekeliling, telinga disumbat earphone. Melihat gelagat pelbagai ragam. Ada yang pelik, ada yang jelik. Banyak juga yang membuatkan senyum terukir.

Berhenti di stop Spencer. Berjalan beberapa langkah sebelum tiba di tempat yang ditujui. Alhamdulillah, belum mula solat.

Kalau diikutkan memanglah ke Pelham Musolla itu senang. Dekat dan cepat. Tapi ada kelainan di ICV mosque. Paling dinantikan qunut pada rakaat ke-3 solat witir. Qunut yang menyentuh hati. Esak tangis jemaah di kiri dan kanan. Subhanallah.

Pernah juga sekali berkesempatan iftar di ICV mosque. Hidangan yang ringkas tapi tetap menyelerakan.

Berharap moga berpeluang untuk ke ICV lagi. Mahu ke masjid-masjid lain juga.
Tapi perlu kaji map terlebih dahulu supaya tidak sesat seperti ke Albanian-Australian Islamic Mosque tempoh hari, setibanya di sana, jemaah sudah pun rakaat terakhir solat witir.

Seronk. Mengutip pengalaman berbeza.


~LailatulQadr,
buru dengan amalan
bukan tunggu dengan ramalan~

MacArthur Rd
23 Ramadhan

Aug 12, 2010

~Datang Lagi~

Subhanallah
Alhamdulillah
Allahu Akbar

Alhamdulillah.Alhamdulillah.Alhamdulillah.

'Allahumma balighna Ramadhan'
Telah Allah kabulkan permintaan itu.
Telah Allah sampaikan aku pada Ramadhan.
Telah dimasukkan aku ke dalam madrasah agung.

Sejak Sya'ban lagi pohon untuk sampaikan pada Ramadhan. Dan kini telah selamat berada di garisan permulaan.
Pohon pula untuk sampai ke garisan penamat. Bukan sekadar sampai, tapi sampai ke garisan penamat sebagai pemenang, sebagai juara.
Tapi tiba-tiba cuak bila fikirkan. Beria aku pinta pada Dia, tapi untuk apa?
Takut.

Katakan, kalau adik anda minta sepasang kasut dari anda. Minta bersungguh-sungguh. Menangis. Merajuk. Semua strategi dijalankan untuk pujuk anda belikan sepasang kasut untuk dia.
Ok. Mengalah. Berjaya si adik dapatkan sepasang kasut dari anda. Kasut cantik dan mahal.
Tapi, selepas dapat kasut yang diberikan, langsung tidak digunakan atau guna beberapa kali sahaja di awalnya. Kemudian dicampak entah ke mana.

Apa perasaan anda?
Marah?
Sedih?
Kecewa?
Cermin balik diri.

Itulah analogi pabila tiba Ramadhan. Diri tetap sibuk dengan urusan dunia. Sampaikan akhirat dicampak merata-rata.

Bukan untuk pisahkan dunia dan akhirat. Tapi begitulah realitinya dan majoritinya.
Memang patut sedih, kecewa dan marah!

..........................................................

Pertama kali berRamadhan di bumi asing. BerRamadhan pada musim dingin.
Singkat pada siangnya, panjang pula malamnya.
Meriah untuk berpesta ibadah. Seronok untuk nyalakan pelita-pelita laila.
Tapi tetap, kalau kalah pada nafsu, banyak detik ibadah jadi lesu.

Oh ya, ada isu menarik menjadi pembuka diskusi Ramadhan di sini. Puasa pada hari Rabu atau Khamis. Isunya anak bulan masih belum kelihatan tapi ramai muslim di sini yang dari negara-negara lain mahu ikut negara asal mereka.
Secara tidak langsungnya, belajar ilmu baru. Penetapan kaedah menentukan anak bulan, global vs local sighting. Selalu rutinnya dengar pengumuman dari Pemegang Mohor Besar Raja-Raja. Rindu pula pada beliau. Hehe


Jom sama-sama kita beraya di bulan Ramadhan

baju raya : pakaian iman, taqwa dan ibadah
kasut raya : ringankan kaki ke masjid
tudung/ hijab raya : hijabkan pandangan dari maksiat
kuih raya : uli pahala dan zikir
duit raya : derma dan infaq



Jul 25, 2010

~ Dunia ~

Subhanallah
Alhamdulillah
Allahu Akbar


berkata seorang penyair...

Itu dia dunia
berbicara sepenuh mulutnya :
"Awasi, awasi
kezaliman dan kekejamanku
Jangan terpedaya dengan senyumku,
madahku sungguh menggembirakan
Tapi
Perbuatanku
membuatmu menangis

penyair lain pula berkata ...

Duhai orang yang berbicara dengan dunia yang hina
kelodak dari segala kebusukan
Hari ini dia membuatmu ketawa
Tapi
besok dia membuat menangis
Dunia
Kaulah tempat paling celaka

penyair lain pula menyebutkan ...

Kalau bistari menguji dunia
Ternyata baginya
dunia hanya seorang musuh berbaju taulan
bagi mereka
pahit dan manis sama sahaja
kerana
kendati keduanya kekal
ia tetap akan hilang



"Masuklah ke dalam dunia, tetapi jangan engkau menyibukkan diri di dalamnya."

"Tidak ada seorang pun di dunia ini kecuali dia berada dalam keadaan lemah, hartanya adalah pinjaman, tetamu akan pergi, dan barang pinjamannya akan
dikembalikan." ~Ibnu Mas'ud

p/s = b'hati-hatilah dengan dunia yang penuh dengan kepalsuan dan tipu daya

Jun 1, 2010

~Just Wait and See??!~



Alhamdulillah.
Tadi sempat sekejap bersama dalam rally mengecam tindakan Israel di hadapan State Library berhampiran bangunan RMIT.

Subhanallah.
Kalau yang bukan Islam juga telah lama bertindak, amat ketinggalanlah kita kalau sekadar jadi pemerhati.

Ayuh. Bantu apa yang termampu.


~Khaybar Khaybar Ya Yahud, Jaisyu Muhammad Saufa Ya'uud~

~malu pada diri~

May 24, 2010

~Syihab~


Subhanallah
Alhamdulillah
Allahu Akbar


Alhamdulillah. Pejam celik pejam celik, sudah lebih kurang 3 bulan bergelar perantau di bumi Melbourne. Tinggal satu bulan sahaja lagi untuk menamatkan sesi pelajaran semester satu tahun satu. Masa berlalu begitu pantas.

Dan sepanjang tempoh 3 bulan ini juga saya telah berkenalan dengan Syihab. Syihab menjadi teman setia saya dalam perjalanan pergi dan pulang dari universiti. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 40 minit setiap hari. Tidak kira awal pagi atau lewat malam, sejuk menggigit tulang mahupun panas membakar kulit, Syihab tidak pernah mengecewakan saya jika diajak teman ke mana-mana. Syihab sentiasa ingatkan saya tentang zikir dan fikir. Memerhati kesibukan kota dan menghayati keindahan alam bersama Syihab sudah menjad satu rutin. Seronok bersama Syihab.

Tapi sekarang, aktiviti bersama Syihab terpaksa dikurangkan. Tidak mendapat restu ibu bapa. Bimbang kata mereka. Tapi saya rasa selamat bersama Syihab. Namun apakan daya, kalau itu kata mereka pasti banyak betulnya. Untuk kebaikan saya juga semestinya.

Petang ini mahu ajak Syihab teman ke Kuliah Tafsir di Pelham Musolla. Tidak berapa jauh jaraknya dari rumah. Jadi, rasanya tak mengapa.

Mahu kenal dengan Syihab? Kalau rajin saya akan uploadkan gambarnya. :)


Syihab itu basikal tunggangan saya. =)


~syukurilah nikmat-nikmat yang sering tidak disyukuri~

May 16, 2010

~Ringkas~

Subhanallah
Alhamdulillah
Allahu Akbar


Sedang asyik berdiri di pepasir
Tenung pada kebiruan terbentang
Terjelma bayangan sosok insan dari seberang
Pasti tanda rindu mengetuk atma ...




~Sekadar ingin gugurkan khabar
di musim luruh buat tanah air~


homesick mungkin :)

Apr 10, 2010

~Berakhir Sudah Easter Break~

Subhanallah
Alhamdulillah
Allahu Akbar

langit senja dari jendela kamar saya. cantikkan? :)


Bermula Khamis lalu, RMIT University mula bercuti.

Cuti telah berakhir. Alhamdulillah, pengisian cuti agak menarik. Bermula dengan AUTUMN GATHERING bertemakan Islam In My Heart disusuli dengan jaulah ke Great Ocean Road menikmati alam indah ciptaan-Nya dan berakhir dengan MEL-BOND, bersukan bersama akhawat dengan tema play as a muslim.

Oh ya, cuti seminggu ini sempena Good Friday dan Easter Day.

Apa itu Easter? Apa itu Good Friday?
Soalan diajukan kepada beberapa kenalan yang beragama Kristian. Jawapan diterima tidak memuaskan. Kebanyakan mereka juga tidak banyak pengetahuan tentang itu. Yang mereka tahu, mereka akan bercuti sempena Easter. Pelik.

Tapi, bila difikirkan kembali, saya juga mungkin seperti mereka apabila diajukan soalan apa itu Isra' Mikraj? Bagaimana mahu diceritakan kepada mereka tentang peristiwa nabi Muhammad S.A.W naik ke langit. Mampukah saya fahamkan mereka? Alangkah beruntungnya jika berpeluang membuatkan mereka percaya, faham seterusnya yakin dengan kisah-kisah indah lagi menarik dalam Islam. Manatahu menjadi asbab mereka menerima hidayah Allah dengan cerita itu. Oh, sungguh tinggi cita-cita itu. Mampukah?

Teringat pula kisah di awal perkenalan dengan seorang classmate lelaki di sini. Menjadi budaya mereka bersalam ketika bertemu lebih-lebih lagi kali pertama berkenalan.

Mulanya ragu-ragu. Mahu ditolak, bimbang dikata biadab. Mahu disambut, bimbang akan menyusul salam-salam yang lain. Aduh, panas!
Keputusan dibuat. Salam yang dihulur tidak bersambut.

"Sorry, I can't" Bilangku.

Alhamdulillah, dia mengangguk, seolah-olah faham. Lega.

Tiba-tiba, terdengar satu suara, dari rakan yang lain yang berdiri di sebelah saya.

"Is't your religious so hard?"

Ops!!! Lama terdiam. Itukah pandangan mereka tentang Islam? Adakah saya membawa fitnah pada Islam agama yang mudah?
Lama terdiam. Menyusun bicara agar tiada salah faham berlaku. Sedikit penjelasan diberikan. Tapi banyak pula soalan-soalan lain yang menyusul. Sukar. Kerna ilmu yang sedikit barangkali. Hina. Kerdil. Perlu lebih bersedia dengan jawapan-jawapan yang bernas.

Ya Allah, Ya Ghafar. Ampun ...

harap langkah tari
tiada sumbang
seiring irama ...

Apr 4, 2010

~Langkah Pertama~

Subhanallah
Alhamdulillah
Allahu Akbar

Malam itu tidurnya sekadar lelapkan mata. Fikiran masih melayang memikirkan hari esok yang bakal tiba.
Kalau diikutkan, memang itulah cita yang dipasak sejak kecil lagi. Tidak perlu fikir panjang, mesti itulah jawapan yang pasti.

Namun berita kegagalan yang diterima sebulan lepas menggoyahkan pendiriannya setelah dicampakkan ke sebuah institusi yang juga pernah menjadi idamannya suatu ketika dahulu. Dia pernah menghadiri temuduga untuk kemasukan di institusi itu selepas keputusan peperiksaan SPM diumumkan tetapi cubaannya tidak membuahkan hasil dan tidak disangka-sangka dia berdiri di tempat yang sama untuk tujuan yang sama buat kali kedua. Alhamdulillah, kali ini dia berjaya.

Walau baru hanya seminggu di sana, dia dapat rasakan kewujudan mutiara-mutiara berharga disekitarnya tika itu. Mutiara yang gagal ditemui di kolej persediaannya sebelum ini. Kali ini, dia berjanji pada dirinya untuk mendapatkan seboleh mungkin kesemua mutiara yang pernah dia terlepas dahulu. Ya, itu misi yang wajib! Fikirnya, itulah hikmah disebalik kegagalannya sebulan lalu. Hikmah yang mengundang airmata keinsafan buatnya.

Panggilan telefon petang itu benar-benar membuatkan otaknya penat. Aturan Allah tiada siapa yang tahu. Penaja telah memberi peluang kedua kepada mereka yang tidak berjaya. Jika dulu, tawaran itu merupakan harapan, kini ia telah berubah menjadi pilihan. Pilihan antara cita dan cinta. Cita untuk mengutip ilmu di negara orang dan cinta pada bi'ah di tempat baru yang mula berputik. Fikirannya berserabut, berkecamuk. Terus, petunjuk Allah diminta.

Setelah menghitung pendapat ahli keluarga dan sahabat-sahabat, dia membulatkan tekad dan menyerahkan segalanya pada Allah. Keputusannya muktamad.

Tiket penerbangan telah diserahkan penaja kepadanya dan itu bermakna tinggal beberapa minit lagi untuk bersama keluarga tersayang dan beberapa sahabat yang sudi meluangkan masa sebelum berpisah jasad beribu batu. Bermacam pesan dari ibu bapanya. Bimbangkan si anak gadis merantau seorang di tempat asing.

Berbekalkan semangat hijrah yang ditiupkan Rasulullah buat umatnya, dia melangkah meninggalkan mereka yang melambai. Tiada esak tangis lahiriahnya. Ya, hijrah itu pengorbanan! Perlu kuat, perlu cekal, perlu tabah.

Sepanjang tempoh penerbangan selama lapan jam, dia tidak dapat melelapkan mata walau sesaat. Orang di kiri kanannya telah lama dibuai mimpi. Mesej-mesej di dalam peti masuk telefon bimbitnya dibelek-belek. Banyak kata-kata nasihat, motivasi dan hikmah yang dapat dikutip dari sahabat-sahabat yang menghantarnya. Setelah seketika, dia mematikan kembali telefon bimbitnya.
Pantang ada peluang, gumpalan fikirannya akan berarak keluar dari kepompong. Pelbagai persoalan laju menerjah. Namun hanya doa yang bisa menjadi jawapan.

Alhamdulillah. Lafaz itu yang pertama terpacul selangkah keluar dari kapal terbang MH 149. Niat dibetulkan. Azam baru disematkan. Walau datang sebagai gagak, berusaha pulang sebagai helang. Dia mengharapkan di sebalik cita yang dikejar, cinta yang ditinggalkan di sana akan ditemui kembali di sini. Insya Allah ...

....................

macarthur road
parkville.

04042010
1.04 pm

Mar 11, 2010

~Pertama Kali~



pertama kali itu

sungguh indah

pertama kali

sujud di atas rumput hijau


pertama kali itu

sangat cantik

pertama kali

sujud di depan laut biru


pertama kali itu

amat menarik

pertama kali

sujud di bawah ufuk merah



moga pertama kali ini akan terus dirasai berkali-kali…



phillip island

06/03/2010

Feb 22, 2010

~Di sini~

Subhanallah
Alhamdulillah
Allahu Akbar



Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Seinfiniti kesyukuran dipanjatkan kepada-Nya. Harapan yang pernah berkecai telah dicantumkan kembali. Aturan-Nya untuk setiap hamba penuh misteri.

2 minggu selepas keputusan TER keluar, menghadiri temuduga UTP.
1 minggu berikutnya, diterima masuk UTP.
2 minggu berikutnya, menerima panggilan JPA; diterima kembali untuk melanjutkan pelajaran di Australia.
1 minggu berikutnya, menghadiri JPA briefing.
1 minggu berikutnya, selamat terbang ke Melbourne.
1 minggu berikutnya, bakal memulakan kelas di RMIT University.

Terima kasih kepada semua yang sering mendoakan. Teruskan mendoakanku untuk hari-hari mendatang.
Alhamdulillah ...

Kuyup dalam kehujanan,
terik dalam kepanasan,
hanya perlu yakin,
ceria pelangi kan menyinggah ...


Lt. Elgin St.
01.55 a.m




Jan 10, 2010

~Buat Tok Janggut~









Garis kedut hias halus
Pada seraut wajah tua

Dia punya cita
Ghairah bangkit bangsa
Tika detik tinggal singkat

Apa yang ada
Apa di dada
Mahu luah semua
Pendam tiada mahu
Biar khabar pada nusa
Biar umat maklum segala

Buat pendengar setia
Lihat seri pancar pada wajah
Ikhlas pancul dari atma

Tumpu pada bicara si dia
Usah jemu, usah bosan ...


BTN Ulu Sepri
09/12/09