Nov 30, 2011

~Mentari Menyinari~


سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Fasa pertama cuti akhir semester tahun ini dihabiskan di Melbourne. Merasa tarbiah musim panas.

***************

Cemburu dengan mistik alam.

Belajar dari mentari yang sangat patuh dengan aturan Allah bilamana zikirnya sering saja terlebih dahulu jumpa Tuhan dari sujud sendiri. Seawal jarum jam belum berdetik ke pukul empat pagi, cahayanya sudah mula gigih menampakkan jalur, menyebarkan sarat tenaga buat hidangan angkatan manusia sejagat dan makhluk bumi sekaliannya.

Belajar dari rintik hujan yang sering jalin toleransi mencipta harmoni bergilir tugas dengan sang suria demi membasah bumi yang kering kepanasan. Agar tanah tidak tandus. Moga hati ini juga turut begitu. Ada yang bantu basahkanya agar tidak retak kekeringan walau tika dalam terik perjalanan hidup.


"Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia,
Mahasuci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka."
(Ali 'Imran: 191)



Di ambang senja,
8.13 pm,
30112011.

Nov 13, 2011

~Terhibur Dengan Alam~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Berjalan-jalan sendiri sepulangnya dari Victoria Market menemani teman membeli cenderahati untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Sudah lama tidak bersendirian bersama alam. Kepuasan tercapai.

Masih. Bunga-bunga pagi segar menguntumkan kelopaknya warna-warni serta menebarkan harumannya pesona. Cukup buat diri penasaran.

'Maka nikmat Tuhanmu yang manakah engkau dustakan?'



Kemudian, berbekalkan sebuah buku di dalam beg sandang, bertapak ke Royal Park. Di bawah pokok berhadapan tasik ditemani suara cicipan burung, memulakan pembacaan. Riang!


Mengharapkan hari esok yang lebih baik.


Pada pelangi banyak warna
Begitu juga pada sinar pagi

Kepelbagaian terus dirai.


Bunga-bunga sudah banyak yang segan,
Kehangatan musim panas makin dirasa.

Nov 12, 2011

~Di Kala Ombak Berbicara~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Alhamdulillah. Berakhir sudah Tahun Dua.

Sebaik keluar dari dewan Melbourne Sport and Aquatic Centre (MSAC) yang menjadi tempat peperiksaan, diajak untuk meraikannya di tempat kegemaran; Brighton Beach. Post-exam picnic!

Menanti mentari tenggelam, makan-makan dan mendengar kisah mereka.





***************

Cerita arah tuju
Mengalir di sela derai tawa
Tika menyusur matahari

Ada yang tertinggal
Setelah terbenam mentari
Yang suram moga kembali terang

Selamanya kita
Jangan berhenti kejar cahaya
Harap pada sinar itu
Suluh gelap jalanan
Dalam carian ini ...

Nov 8, 2011

~Kisah Budak Kaca Mata~


سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Ditanya tentang perubahan
Ditagih sebuah nasihat

Maaf
Bukan aku tidak mahu menasihati
Tapi selayaknya aku dinasihati

Atau, mungkin ini masa yang sesuai
Untuk sebuah perubahan
Perubahan yang mesti

Ikhtilat

Bukan kamu, tapi aku
Kerana kita tidak cukup kenal
Tidak adil untuk aku menghakimi kamu

Cukup aku jadi watak dalam bicara ini

Kalau dulu tunduk-tunduk
Kalau dulu malu-malu
Kalau dulu lapik-lapik
Kalau dulu jaga-jaga
Kalau dulu elak-elak

Kalau dulu ...

Dan kalau sekarang aku masih seperti dulu.



Terima kasih untuk pertanyaan itu.
Tapi maaf, aku tidak mampu.
Dan aku juga butuhkan nasihat.



Rindu aku yang dulu;
budak kaca mata,
kain biru, lengan cekak, tudung labuh.

Nov 5, 2011

~Salam Aidil Adha~


سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Esok raya!

Dan hari ini sedang bertungkus-lumus 'menyembelih' nota-nota Heat and Mass Transfer dan 'melapah' soalan-soalan Reaction Engineering untuk di'panggang' lusa. Berbaki lagi dua. Berusaha!

**********

Tersenyumlah bahagiakanku dengan kisah-kisah mereka.

Kisah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim a.s. dan Nabi Allah Ismail a.s.. Agungnya pengorbanan pasangan ayah dan anak ini sehingga Allah abadikan kisah mereka dalam amalan sembelih korban yang masih lekat hingga kini.

Pasti ramai juga tidak lupa akan pengorbanan Siti Hajar. Bagaimana Allah telah muatkan kisah ketabahan Siti Hajar ini dalam ritual ibadah haji dan umrah. Lari-lari kecil dari Bukit Safa ke Bukit Marwah tujuh kali lengkap.

Namun, jangan sesekali kita lupa akan pengorbanan Siti Sarah. Siti Sarah yang sanggup menduakan dirinya tika diuji Allah tidak dapat memberi zuriat pada Nabi Allah Ibrahim a.s. Merelakan diri bermadu kasih demi kelangsungan zuriat suami tercinta. Tanpa pinta Siti Sarah ini, mungkin tidak terukir kisah Siti Hajar. Aturan Allah itu setiap sesuatu pasti ada hikmahnya.

Sesungguhnya seisi keluarga telah berkorban. Semata-mata tunduk taat pada-Nya.

Pohonku, doakanlah moga kisah aku dalam melangkah menyusuri waktu menjemput harap setabah mereka.


Selamat menghayati pengorbanan!



Sesetengah
orang akan kembali,

hati dan jiwa-jiwa yang dilahirkan semula
Sesetengah orang akan kembali,
kesedihan mereka digantikan dengan kegembiraan
Sesetengah orang akan kembali,
kembali ke Rahmatullah.

Labbaikallahumma labbaik
.


Bergua,
ba'da Zuhur,
8 Zulhijjah.

Nov 3, 2011

~Tidak Mahu Tewas Lagi~



سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Tewas. Sering.

***********

GOL!!!!

Bersorak, berteriak kegembiraan penyokong kelab itu apabila pasukannya berjaya menjaringkan gol buat ke sekian kalinya.

Dan tidak mustahil, esok pasukan ini akan menggondol pingat lagi. Dan seterusnya, lagi.

Pasukan lawan yang tewas, mungkin akan tewas lagi. Dan akan terus tewas, lagi.

Mahu salahkan pasukan juarakah yang hebat 'skill'nya melecek bola di atas padang empat segi itu?

Atau salahkan penjaga gol seorang yang membiarkan saja bola tembus masuk dalam kotak jaring itu?

Atau salahkan pemain yang menjaringkan gol 'kebajikan' untuk pihak lawan?

Atau salahkan jurulatih yang kurang hebatnya?

Atau salahkan penyokong yang perlahan jeritannya?

Yang harus disalahkan, siapakah?

Bisa saja untuk salahkan siapa sahaja, bahkan apa sahaja. Mungkin bola yang kurang bulat, mungkin padang yang kurang hijau, atau tiang gol yang senget, atau juga wisel yang tidak berbunyi, boleh juga pencahayaan yang malap. Pilih saja. Pelbagai.

Namun, jujurlah pada diri.
untuk apa alasan yang seribu itu?
supaya diri tidak rasa bersalah?
walhal hakikatnya, dihantui, diburu sentiasa
dengan perasaan yang satu itu.

Bukan?

**************

Ulasan perlawanan pasukan al-haq
berentap dengan pasukan al-bathil di padang hati.
Kemenangan atau ketewasan.

Juaranya, anda tentukan.


yang tewas,
penerima kad merah terbanyak,

Fajar,
7 Zulhijjah 1432.

Nov 2, 2011

~Berhati-hati dengan Hati~

credit pic: k.shida

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

ada hati perlu dijaga agar tidak terluka,
ada hati perlu terluka agar terjaga.

maaf, andai hati terluka.
maaf, andai hati tidak terjaga.

mohon hati senantiasa berhati-hati.


Biar terluka,
asal terjaga.
Mampukah?