May 7, 2013

~Aroma Sekuntum Demokrasi~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم


[1]
Aroma sekuntum demokrasi.

[2] 
Merebak merentap serelung duka
Bikin marhaen terluka penasaran.

[3]
Ayuh duduk bersila bersama
Duduk santai berdehem wibawa
Melihat opera ditayang umum.

[4]
Dicitrakan pertelagahan puak dan bangsa
Terhidang fatwa mufti dan ulama’ begini
Beda kata parti sekian sekian begitu
Tambah lagi media perdana yang kian tandus.

[5]
Musnah berkecai sorakan senada
Hancur lebur mimpi kisah romantis
Akan peri sebuah negara utopia
Untuk dicoret ke dalam memori
Buat tatapan generasi warisan.

[6]
Jenuh rakyat dipongah dipandir
Jiwa layu terusan digugah
Medan nafsu terusan dijolok
Yang gelap kian kelam
Yang kelam diselaputi zulumat
Sukarnya cahaya tembusi selubang jarum.

[7]
Kerana kita sudah merdeka
Bahkan kita sangat merdeka
Mentafsir dunia seenak rasa
Berkira bicara semampu mahu
Dilaga-laga si anu gitu dan gini
Tanpa terpalit rasa berdosa
Tiada gerun neraka maha seram.

[8]
Pergolakan terus-terusan dicanang
Rasa cinta diramas dalam genggaman
Disorok yang hak ditabur yang batil
Hai dunia politik penuh klimaks
Lelah si muda turun ke jalan
Penat si tua memerah keringat
Menjerit melolong menadah reformasi
 Hampir saja rebah berkejaran dengannya.

[9]
Semakin terngiang suara sumbang
Semakin sayup melodi syurga
Kepada siapa mahu diadukan?
Kepada siapa mahu dibisikkan?
Kalau bukan pada Yang Maha Segala
Hanya dijemari-Mu kuasa tercipta
Hanya dijemari-Mu kuasa dihancurkan
Kerana selayaknya aku tiada mampu
Hanya hamba sahaya menanti hitung-Mu.

[10]
Dan sekuntum demokrasi yang kian layu
Berharapkan agar bisa mekar kembali
Hasil tangan-tangan kita bersama
Jambangan demokrasi moga terus subur
Dicucuk ditanam di taman-taman indah
Melepaskan aroma mewangi menusuk nubari
Dibawa angin ke pelosok ruang
Menjadi hiasan sekalian penduduk
Disimbah mentari bertambah segar
Terlihat terang disuluh rembulan.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10]
Titik.


Dan satu helaan nafas
Panjang, Frustasi; 
Mengudara.
Pasca PRU 13
06 Mei 2013





No comments: