Jul 28, 2012

~Kisah April~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم


Ini kisah April yang lalu.

Twins of Faith, Annual Islamic Conference kali ke-3 yang dihadiri sejak berada di bumi Australia. Penceramah dan pengisian yang tidak pernah mengecewakan.

Moga ilmu yang diperoleh tidak disimpan tanpa amal. Moga amal yang datang tidak dilaksana tanpa ikhlas. Moga ikhlas yang dipohon tidak sia-sia tanpa Redha-Nya.


*******


Memang acapkali juga program-program berunsur Islam di sini akan diselitkan slot auction. Sentiasa yang dibida bukanlah barang-barang luar biasa, boleh sahaja didapati di mana-mana tempat dengan harga yang jauh lebih murah. Tapi kerana sifat luar biasa mereka untuk Islam, bantal malah bingkai gambar yang biasa-biasa  juga boleh dibida dengan ratusan dolar dan pernah ada barang yang mencecah ribuan dolar.

Jika sebelum ini, hanya menyaksikan slot auction yang sangat magis ini, magis melihat bagaimana puluhan malahan jutaan ribu dolar berjaya dikutip dalam satu malam. Namun dalam Twins of Faith yang lalu kami dikurniakan Allah untuk mencipta magis.

Kali ini, jumlah kutipan untuk disalurkan kepada Mercy Mission bagi menjayakan salah satu misinya bagi mewujudkan satu saluran televisyen Islam di seluruh dunia. Slot auction ini dikendalikan oleh Sheikh Tawfique Chowdury, yang Subhanallah cukup hebat kata-katanya. Bidaan dimulakan denga $AUD 30 000. Sambil mencari hadirin yang mahu menyambut nilaian itu, sambil beliau bercerita tentang ganjaran-ganjaran yang dijanjikan Allah. Lama menanti, sambil cerita-cerita beliau tidak berhenti, sehinggalah ada satu tangan kelihatan tidak berapa tinggi diangkat. Subhanallah. Pakaiannya biasa-biasa, penampilannya juga cukup sederhana, tidak berapa jauh dari tempat duduk kami. Sangat zuhud lagi tawadhuk kelihatannya. Satu dewan mengaminkan doa Sheikh Tawfique untuk dia. Cemburu membuak-buak tika itu.

Slot diteruskan, nilaian semakin diturunkan. Sehinggalah kepada $AUD 10 000 terakhir. Syarahan Sheikh Tawfique kian hangat. Memberi semangat yang berkobar-kobar. Lama berkira-kira. Pandang kiri pandang kanan. Tangan angkat sekejap, jatuhkan lama. Angkat lagi rendah-rendah. Yakin masih belum sepenuhnya. Ada suara-suara berbisik di sebelah.

'Boleh Amy! Kita cuba sama-sama' 
'Amy, go!'
'Amy, nanti kita kumpul duit ramai-ramai'

Pejam mata rapat-rapat. Angkat tangan tinggi-tinggi. Bismillahi tawakkaltu a'laLlah.

'Masya Allah, sister. May Allah grant you Paradise.' 

Sambil aku dipeluk erat oleh seorang mak cik  dibelakang. Meremang bulu roma. Bergenang sedikit. Borang diisi, dengan tangan yang terketar-ketar. Sambil terus diberi kata-kata semangat dari teman-teman disebelah kiri dan kanan. Masih tidak percaya. 

Manakan tidak bimbang, jangan katakan $AUD 10 000, $AUD 1000 pun tidak ada dalam akaun. Kerana aku dan mereka kebanyakannya berstatus pelajar, pelajar tajaan, kadang-kadang kewangan menjadi isu. Bukan merungut apatah lagi mengeluh kerana selayaknya syukur itu perlu sentiasa, dengan nikmat yang tidak akan pernah terhitung. Mengerti juga bimbang.

Tapi ajaib! Hal itu tidak menjadi penghalang kepada mereka. Keyakinan pada rezeki kurniaan Allah, dalam rezeki kita punya hak orang lain. Malam itu juga, operasi bermula, bermediumkan Facebook, status dikarang, teman-teman turut sama share cerita ini. Laju saja jumlah dalam akaun bertambah. Netbank diketuk-ketuk tidak pernah henti. Sungguh, kagum dengan sifat pemurah semua. Berlumba-lumba dalam kebaikan. Menjadikan aku segan dengan keterbelakangan aku.


***********

Kalau semalam aku ragu-ragu, tidak lagi hari ini. Kalau semalam aku tertanya-tanya, jawapannya ada pada hari ini. 

Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga pada-Nya. Tanggal 8 Ramadhan 1433 menyaksikan kutipan telah melebihi $AUD 10 000. Tidak pernah kami sangka, tidak pernah kami bayang. Indahnya nikmat yakin pada-Mu Ya Allah. Engkau jualah yang cukupkan nilaian ini Ya Allah. Engkau jualah memberi rezeki kepada mereka untuk 'memberi' di jalan-Mu Ya Allah. Engkau berkatilah setiap yang mereka berikan Ya Allah. Engkau kurniakan ganjaran yang terbaik buat mereka Ya Allah. Kerna Engkau jualah sebaik-baik Pemberi Ganjaran.


'May Allah grant you Paradise' 

Dan doa mak cik itu khususnya, serta seisi dewan seluruhnya pada hari  itu, kita kongsi bersama.


kemaskini dari draft,
9 Ramadhan 1433


4 comments:

Anonymous said...

Bangga, kagum
Itu sentiasa

Malu, segan
Jurang makin menebal

nuramiliaz said...

ya..
bangga, kagum
malu, segan
dengan mereka
dan (kamu)

Anonymous said...

Subhanallah,amy :) kagum dengan amy.kite pun pernah pergi program twins of faith kat msia sangat best and seronok. semua orang berlumba-lumba nak menyumbg sesuatu..mashaAllah :)

nuramiliaz said...

ain,
Alhamdulillah. haza min fadhli rabbinaa. amy tak buat apa pun. tukang kumpul je.. :D

bestkan? tapi amy tak sempat pergi yang kat malaysia sebab dah balik sini.

:)