Jul 31, 2012

~Kembara Ke Bulan~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

 
kata dia,

CINTA 
sesuatu yang menenangkan jiwa.




Ayuh, terus-menerus semarakkan
rasa Cinta pada Dia.



mencari jawapan
hanya dari Dia,
19 Ramadhan 1433.

~Sering Kau Tanyakan~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم


Aku masih bingung
Dengan cerita semalam.

Ada abjad yang tidak tertulis
Ada kata yang tidak terlafaz
Ada rasa yang tidak terluah
Pada mimpi sebuah lena. 

Adakah ada pada tiada?







Andai saja aku (kau) mengerti. 

Moga aku (kau) tidak terlambat,
Fasa ke-2 Ramadhan

Jul 28, 2012

~Kisah April~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم


Ini kisah April yang lalu.

Twins of Faith, Annual Islamic Conference kali ke-3 yang dihadiri sejak berada di bumi Australia. Penceramah dan pengisian yang tidak pernah mengecewakan.

Moga ilmu yang diperoleh tidak disimpan tanpa amal. Moga amal yang datang tidak dilaksana tanpa ikhlas. Moga ikhlas yang dipohon tidak sia-sia tanpa Redha-Nya.


*******


Memang acapkali juga program-program berunsur Islam di sini akan diselitkan slot auction. Sentiasa yang dibida bukanlah barang-barang luar biasa, boleh sahaja didapati di mana-mana tempat dengan harga yang jauh lebih murah. Tapi kerana sifat luar biasa mereka untuk Islam, bantal malah bingkai gambar yang biasa-biasa  juga boleh dibida dengan ratusan dolar dan pernah ada barang yang mencecah ribuan dolar.

Jika sebelum ini, hanya menyaksikan slot auction yang sangat magis ini, magis melihat bagaimana puluhan malahan jutaan ribu dolar berjaya dikutip dalam satu malam. Namun dalam Twins of Faith yang lalu kami dikurniakan Allah untuk mencipta magis.

Kali ini, jumlah kutipan untuk disalurkan kepada Mercy Mission bagi menjayakan salah satu misinya bagi mewujudkan satu saluran televisyen Islam di seluruh dunia. Slot auction ini dikendalikan oleh Sheikh Tawfique Chowdury, yang Subhanallah cukup hebat kata-katanya. Bidaan dimulakan denga $AUD 30 000. Sambil mencari hadirin yang mahu menyambut nilaian itu, sambil beliau bercerita tentang ganjaran-ganjaran yang dijanjikan Allah. Lama menanti, sambil cerita-cerita beliau tidak berhenti, sehinggalah ada satu tangan kelihatan tidak berapa tinggi diangkat. Subhanallah. Pakaiannya biasa-biasa, penampilannya juga cukup sederhana, tidak berapa jauh dari tempat duduk kami. Sangat zuhud lagi tawadhuk kelihatannya. Satu dewan mengaminkan doa Sheikh Tawfique untuk dia. Cemburu membuak-buak tika itu.

Slot diteruskan, nilaian semakin diturunkan. Sehinggalah kepada $AUD 10 000 terakhir. Syarahan Sheikh Tawfique kian hangat. Memberi semangat yang berkobar-kobar. Lama berkira-kira. Pandang kiri pandang kanan. Tangan angkat sekejap, jatuhkan lama. Angkat lagi rendah-rendah. Yakin masih belum sepenuhnya. Ada suara-suara berbisik di sebelah.

'Boleh Amy! Kita cuba sama-sama' 
'Amy, go!'
'Amy, nanti kita kumpul duit ramai-ramai'

Pejam mata rapat-rapat. Angkat tangan tinggi-tinggi. Bismillahi tawakkaltu a'laLlah.

'Masya Allah, sister. May Allah grant you Paradise.' 

Sambil aku dipeluk erat oleh seorang mak cik  dibelakang. Meremang bulu roma. Bergenang sedikit. Borang diisi, dengan tangan yang terketar-ketar. Sambil terus diberi kata-kata semangat dari teman-teman disebelah kiri dan kanan. Masih tidak percaya. 

Manakan tidak bimbang, jangan katakan $AUD 10 000, $AUD 1000 pun tidak ada dalam akaun. Kerana aku dan mereka kebanyakannya berstatus pelajar, pelajar tajaan, kadang-kadang kewangan menjadi isu. Bukan merungut apatah lagi mengeluh kerana selayaknya syukur itu perlu sentiasa, dengan nikmat yang tidak akan pernah terhitung. Mengerti juga bimbang.

Tapi ajaib! Hal itu tidak menjadi penghalang kepada mereka. Keyakinan pada rezeki kurniaan Allah, dalam rezeki kita punya hak orang lain. Malam itu juga, operasi bermula, bermediumkan Facebook, status dikarang, teman-teman turut sama share cerita ini. Laju saja jumlah dalam akaun bertambah. Netbank diketuk-ketuk tidak pernah henti. Sungguh, kagum dengan sifat pemurah semua. Berlumba-lumba dalam kebaikan. Menjadikan aku segan dengan keterbelakangan aku.


***********

Kalau semalam aku ragu-ragu, tidak lagi hari ini. Kalau semalam aku tertanya-tanya, jawapannya ada pada hari ini. 

Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga pada-Nya. Tanggal 8 Ramadhan 1433 menyaksikan kutipan telah melebihi $AUD 10 000. Tidak pernah kami sangka, tidak pernah kami bayang. Indahnya nikmat yakin pada-Mu Ya Allah. Engkau jualah yang cukupkan nilaian ini Ya Allah. Engkau jualah memberi rezeki kepada mereka untuk 'memberi' di jalan-Mu Ya Allah. Engkau berkatilah setiap yang mereka berikan Ya Allah. Engkau kurniakan ganjaran yang terbaik buat mereka Ya Allah. Kerna Engkau jualah sebaik-baik Pemberi Ganjaran.


'May Allah grant you Paradise' 

Dan doa mak cik itu khususnya, serta seisi dewan seluruhnya pada hari  itu, kita kongsi bersama.


kemaskini dari draft,
9 Ramadhan 1433


~Semarakkan Semangat~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Oh, hari ini bermula semakan nama PLKN siri ke-10. Teringat kisah setengah dekad yang lalu.  

 ***********

Mendengar cerita yang bermacam-macam dari seniors, pada awalnya sangat mengharapkan tidak terpilih walaupun berminat dengan aktiviti-aktiviti PLKN yang disiarkan di televisyen dan akhbar-akhbar ketika itu.
  




Sepulangnya dari kelas prep hari itu, kecoh satu aspuri dengan berita nama-nama yang terpilih untuk ke PLKN telah dipaparkan. Berdebar. Tapi pura-pura tenang. Cepat-cepat kaki melangkah ke surau Saidatina Khadijah. Tunaikan Solat Asar. Dalam sujud solat itu, aku doa banyak-banyak. Usai solat, doa lagi banyak-banyak.
 
Sehinggalah sebelum semak nama dekat lorong pondok telefon yang tidak pernah tidak ramai pelajar-pelajar aspuri ber'gayut' melepaskan rindu pada keluarga dan teman. Doa, doa dan terus berdoa. Ada yang gembira tanda syukur tidak terpilih, ada yang menangis melihat nama tersenarai, dan ada yang tiada reaksi.

Alhamdulillah, doa dimakbulkan. Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Memakbulkan doa hamba-hamba-Nya.

Doa tika itu, yang terkumat-kamit dibaca tidak henti, mengharapkan yang terbaik dari Dia, kerna aku tidak pernah tahu apa yang terbaik untuk diri sendiri.
 
'Ya Allah, jika PLKN ini terbaik untukku, Engkau relakanlah dan permudahkanlah aku untuk melaluinya, dan berikanlah aku kebaikan dalamnya, dan jika PLKN ini tidak baik untukku Engkau hindarkanlah aku darinya.'


Alhamdulillah, berkat diperkenankan doa oleh-Nya, hari-hari di PLKN berlalu dengan seribu satu kisah yang memberi erti buat diri, bersama teman-teman yang sentiasa dalam ingatan, insyaAllah. 


*********

Buat yang terpilih, tahniah!


1 Hasrat. 1 Semangat. 1 Tekad.
PLKN Kem Semarak,
Kumpulan 1 Siri 5




Jul 25, 2012

~Memberi Erti~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Kejujuran dan kepercayaan
Gerak langkahnya haruslah seiring

Apa erti segunung kejujuran
Jika tidak disambut dengan secebis kepercayaan

Tiada erti selautan kepercayaan
Jika dilemparkan dengan setitik ketidakjujuran

Kedua-duanya saling melengkapi
Bertemanlah dengan erti kejujuran dan kepercayaan

Berilah kejujuran
 Berilah kepercayaan

Moga diterima kembali
kejujuran juga kepercayaan itu

Mudah-mudahan
Dengan izin-Nya.



Yang mencari erti,
Swanston Library.

Jul 24, 2012

~Mendongak Ke Langit~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Dalam segenap segi 
Pasti dia lebih

Bila kata segenap segi
 
Segenap segi yang positifnya

Cemburu?
 
Ya, kadang-kadang

Bangga, kagum
Itu sentiasa

Terima kasih,
 Sahabat.

Jul 22, 2012

~Bulan Berbicara~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Seharusnya
Siapkan diri sebelas bulan yang lalu
 untuk hadapi bulan ini

Bukan sekadar menanti bulan ini

untuk menghadapi sebelas bulan seterusnya.


~haa, kan dah semput!~



Senja, 
2nd of Ramadhan

Jul 18, 2012

~Undangan~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم


Di ambang puncak keremajaan, bertalu-talu menerima undangan penuh barakah dari sahabat seusia. Undangan dari insan-insan pilihan Allah. Moga redha Allah mengiringi setiap anda. Selamat menjadi pasangan soleh dan solehah buat kalian. Barakallahulakuma.

Tunggu sekejap lagi, akan diterima pula Undangan, Jemputan yang tidak dapat tidak pasti ditempuhi setiap kita. Jemputan sakaratulmaut. Jemputan agung yang tidak akan ada seorang pun bisa lari. Bersedia atau tidak, terserah kita untuk mempersiapkan diri menghadapinya. Barakallahulakunna, insyaAllah. 

Yang terkilan (terlepas banyak undangan),
28 Sya'ban 1433.

Jul 17, 2012

~Iqra' Tanpa Kitab~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم


Iqra’
Dipeluk kemas

Iqra’
Bernafas sesak

Iqra’
Diselimut lelah

Iqra’
Saat baginda di puncak khalwat
Datang Jibril sampaikan pesan
Membawa wahyu riwayat baca-Mu
Diulang acap rentas alam jagat

Iqra’
Itu kalam suara Tuhan
Mana mungkin sepi tanpa layan
Tiada batas cangkup seluruhnya
Asal tahu pandu setiap rasa

Iqra’
Setiap lembar lewat kata
Pada naskhah digores pena
Helaian kitab tercoret kalam
Kepingan mushaf menjalin tinta

Iqra’
Ayuh patuh isi wahyu-Nya
Terus baca cairkan qalbu
Ilmu moga terus jadi amal
Mengganti kelam terbit sinar

Iqra'
Dijulang insan yang lahirnya biasa
ke tingkat tertinggi utusan Tuhan.




Di hujung puisi ini, 
Seputar persoalan ligat di minda,
Menjejak sirah baginda Nabi saw.

Iqra’ baginda tanpa kitab, 
Baca baginda tanpa buku.  

Lalu,
Iqra' itu apa?
Baca itu apa?

Atau ummiy itu harusnya apa?

Mana mungkin nabi sampaikan
Apa yang tidak baginda kerjakan.

Keliru.

Jawab, 
Tolong.

Jul 15, 2012

~Juni Dan Juli~

سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah wa thumma Astaghfirullah.

Winter Break 2012 dilalui dengan seribu satu kisah yang mudah-mudahan tersemat utuh di minda. Pengajaran dan manfaat buat diri dan mereka. Menjadi bekal menuju ke gerbang Ramadhan.


Berkelana seusai kertas terakhir semester 5 ke Tasmania selama seminggu bertemankan sahabat dari seberang Adelaide. Menjadi muhajir yang pastinya mengajar erti hijrah. Dilayan dengan sangat istimewa oleh 'Ansar' Tasmania walau ramai sahaja yang baru sahaja pertama kali jumpa. Kehangatan bantuan mereka mengurangkan dingin musim sejuk di sana. Semoga Allah membalas sebaik-baik dan sebanyak-banyak kebaikan buat mereka.

 

Sepulangnya dari Tasmania, disambut oleh sahabat sedorm. Bercerita kisah-kisah lama, dan akan datang. Menghitung detik jiran sebelah katil di F32 bertukar status. Barakallaulakuma Pn. F32 yang pertama. Selamat menjadi isteri solehah.

 Hari-hari seterusnya bertambah ceria dengan kehadiran tetamu-tetamu dari pelosok Australia dan New Zealand. Sungguh, aku 'Ansar' serba kurang, untuk berikan yang terbaik sangatlah tidak tercapai.


5 hari 4 malam di perkampungan ilmu. Bertemu insan-insan hebat di mata manusia juga hebat di mata Allah (insyaAllah). Mereka memandang dunia dengan kaca mata akhirat, memandang akhirat dengan kaca mata dunia. Ilmu lambangan akhlak, akhlak simbolik ilmu, ada pada mereka. Kagum.

 

Keputusan peperiksaan semester 5. Alhamdulillah a'la kulli hal. Perlu lebih gigih. Perlu tinggikan target. Supaya tidak ketinggalan lagi. Terinspirasi dengan kisah mereka. Terbaik akademik, terbaik kokurikulum. Terbaik akidah, terbaik ibadah, terbaik akhlak. 

Ilmu di universiti bukan sekadar ilmu dalam bidang pengajian yang diambil semata.  Kerana Universiti itu sifatnya Universe, Jami'ah itu sifatnya Jama'. Justeru, perlu ambil tahu lebih dari yang diajar di dalam dewan kuliah, makmal eksperimen, makmal komputer dan kelas tutorial.

 

Sehari sebelum kelas bermula. Menjejakkan kaki ke Mt. Buller. Menyaksikan keagungan ciptaan Allah. Pandang ke langit dan merasai rintik-rintik salji mencair di wajah. Tangan ditadah melihat kristal-kristal putih memenuhi gloves. Butiran-butiran salji dikepal membentuk snowman. Mengukir nama menulis emosi di atas putih salju.

"Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menjadikan awan bergerak perlahan, kemudian mengumpulkannya, lalu Dia menjadikannya bertumpuk-tumpuk, lalu engkau lihat hujan keluar dari celah-celahnya;  dan Dia (juga) menurunkan butiran-butiran ais dari langit, (iaitu) dari gumpalan-gumpalan awan seperti gunung-gunung, maka ditimpakan-Nya (butiran-butiran ais itu) kepada siapa yang Dia kehendaki dan dihindarkanNya kepada siapa yang Dia kehendaki. Kilauan kilatnya hampir-hampir menghilangkan penglihatan." (Surah An-Nur : ayat 43)

Dan esok, bakal meneruskan semester 6. Mudah-mudahan Allah permudahkan.



Rejab dan Sya'ban berlalu dengan pantasnya,
Bimbang Ramadhanku juga berlalu sebegitu.

Allahuma balighna Ramadhan,
Wa bariklana fi Sya'ban wa Ramadhan.

25 Sya'ban 
Macarthur Road