Apr 10, 2010

~Berakhir Sudah Easter Break~

Subhanallah
Alhamdulillah
Allahu Akbar

langit senja dari jendela kamar saya. cantikkan? :)


Bermula Khamis lalu, RMIT University mula bercuti.

Cuti telah berakhir. Alhamdulillah, pengisian cuti agak menarik. Bermula dengan AUTUMN GATHERING bertemakan Islam In My Heart disusuli dengan jaulah ke Great Ocean Road menikmati alam indah ciptaan-Nya dan berakhir dengan MEL-BOND, bersukan bersama akhawat dengan tema play as a muslim.

Oh ya, cuti seminggu ini sempena Good Friday dan Easter Day.

Apa itu Easter? Apa itu Good Friday?
Soalan diajukan kepada beberapa kenalan yang beragama Kristian. Jawapan diterima tidak memuaskan. Kebanyakan mereka juga tidak banyak pengetahuan tentang itu. Yang mereka tahu, mereka akan bercuti sempena Easter. Pelik.

Tapi, bila difikirkan kembali, saya juga mungkin seperti mereka apabila diajukan soalan apa itu Isra' Mikraj? Bagaimana mahu diceritakan kepada mereka tentang peristiwa nabi Muhammad S.A.W naik ke langit. Mampukah saya fahamkan mereka? Alangkah beruntungnya jika berpeluang membuatkan mereka percaya, faham seterusnya yakin dengan kisah-kisah indah lagi menarik dalam Islam. Manatahu menjadi asbab mereka menerima hidayah Allah dengan cerita itu. Oh, sungguh tinggi cita-cita itu. Mampukah?

Teringat pula kisah di awal perkenalan dengan seorang classmate lelaki di sini. Menjadi budaya mereka bersalam ketika bertemu lebih-lebih lagi kali pertama berkenalan.

Mulanya ragu-ragu. Mahu ditolak, bimbang dikata biadab. Mahu disambut, bimbang akan menyusul salam-salam yang lain. Aduh, panas!
Keputusan dibuat. Salam yang dihulur tidak bersambut.

"Sorry, I can't" Bilangku.

Alhamdulillah, dia mengangguk, seolah-olah faham. Lega.

Tiba-tiba, terdengar satu suara, dari rakan yang lain yang berdiri di sebelah saya.

"Is't your religious so hard?"

Ops!!! Lama terdiam. Itukah pandangan mereka tentang Islam? Adakah saya membawa fitnah pada Islam agama yang mudah?
Lama terdiam. Menyusun bicara agar tiada salah faham berlaku. Sedikit penjelasan diberikan. Tapi banyak pula soalan-soalan lain yang menyusul. Sukar. Kerna ilmu yang sedikit barangkali. Hina. Kerdil. Perlu lebih bersedia dengan jawapan-jawapan yang bernas.

Ya Allah, Ya Ghafar. Ampun ...

harap langkah tari
tiada sumbang
seiring irama ...

Apr 4, 2010

~Langkah Pertama~

Subhanallah
Alhamdulillah
Allahu Akbar

Malam itu tidurnya sekadar lelapkan mata. Fikiran masih melayang memikirkan hari esok yang bakal tiba.
Kalau diikutkan, memang itulah cita yang dipasak sejak kecil lagi. Tidak perlu fikir panjang, mesti itulah jawapan yang pasti.

Namun berita kegagalan yang diterima sebulan lepas menggoyahkan pendiriannya setelah dicampakkan ke sebuah institusi yang juga pernah menjadi idamannya suatu ketika dahulu. Dia pernah menghadiri temuduga untuk kemasukan di institusi itu selepas keputusan peperiksaan SPM diumumkan tetapi cubaannya tidak membuahkan hasil dan tidak disangka-sangka dia berdiri di tempat yang sama untuk tujuan yang sama buat kali kedua. Alhamdulillah, kali ini dia berjaya.

Walau baru hanya seminggu di sana, dia dapat rasakan kewujudan mutiara-mutiara berharga disekitarnya tika itu. Mutiara yang gagal ditemui di kolej persediaannya sebelum ini. Kali ini, dia berjanji pada dirinya untuk mendapatkan seboleh mungkin kesemua mutiara yang pernah dia terlepas dahulu. Ya, itu misi yang wajib! Fikirnya, itulah hikmah disebalik kegagalannya sebulan lalu. Hikmah yang mengundang airmata keinsafan buatnya.

Panggilan telefon petang itu benar-benar membuatkan otaknya penat. Aturan Allah tiada siapa yang tahu. Penaja telah memberi peluang kedua kepada mereka yang tidak berjaya. Jika dulu, tawaran itu merupakan harapan, kini ia telah berubah menjadi pilihan. Pilihan antara cita dan cinta. Cita untuk mengutip ilmu di negara orang dan cinta pada bi'ah di tempat baru yang mula berputik. Fikirannya berserabut, berkecamuk. Terus, petunjuk Allah diminta.

Setelah menghitung pendapat ahli keluarga dan sahabat-sahabat, dia membulatkan tekad dan menyerahkan segalanya pada Allah. Keputusannya muktamad.

Tiket penerbangan telah diserahkan penaja kepadanya dan itu bermakna tinggal beberapa minit lagi untuk bersama keluarga tersayang dan beberapa sahabat yang sudi meluangkan masa sebelum berpisah jasad beribu batu. Bermacam pesan dari ibu bapanya. Bimbangkan si anak gadis merantau seorang di tempat asing.

Berbekalkan semangat hijrah yang ditiupkan Rasulullah buat umatnya, dia melangkah meninggalkan mereka yang melambai. Tiada esak tangis lahiriahnya. Ya, hijrah itu pengorbanan! Perlu kuat, perlu cekal, perlu tabah.

Sepanjang tempoh penerbangan selama lapan jam, dia tidak dapat melelapkan mata walau sesaat. Orang di kiri kanannya telah lama dibuai mimpi. Mesej-mesej di dalam peti masuk telefon bimbitnya dibelek-belek. Banyak kata-kata nasihat, motivasi dan hikmah yang dapat dikutip dari sahabat-sahabat yang menghantarnya. Setelah seketika, dia mematikan kembali telefon bimbitnya.
Pantang ada peluang, gumpalan fikirannya akan berarak keluar dari kepompong. Pelbagai persoalan laju menerjah. Namun hanya doa yang bisa menjadi jawapan.

Alhamdulillah. Lafaz itu yang pertama terpacul selangkah keluar dari kapal terbang MH 149. Niat dibetulkan. Azam baru disematkan. Walau datang sebagai gagak, berusaha pulang sebagai helang. Dia mengharapkan di sebalik cita yang dikejar, cinta yang ditinggalkan di sana akan ditemui kembali di sini. Insya Allah ...

....................

macarthur road
parkville.

04042010
1.04 pm